KEHAMILAN luar rahim berlaku di dalam tiub fallopio.
KEHAMILAN luar rahim berlaku di dalam tiub fallopio.
IMBASAN awal perlu dilakukan bagi mengesan kehamilan ektopik.
IMBASAN awal perlu dilakukan bagi mengesan kehamilan ektopik.
Siti Zarinah Sahib

Kehamilan luar rahim bukanlah sesuatu yang asing dan ada wanita mengalaminya selepas mengandung kali pertama. Ada juga ketika anak kedua atau seterusnya. Dalam sesetengah keadaan walaupun ia membahayakan nyawa ibu hamil, wanita yang mempunyai sejarah kandungan luar rahim masih berpeluang hamil pada masa akan datang.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal, kehamilan luar rahim juga lebih sinonim dengan nama ektopik yang bermaksud ‘di tempat yang salah’.

Dalam kebanyakan kes hampir 98 peratus, implantasi berlaku di dalam tiub fallopio dan sebab itu ia turut dikenali sebagai kehamilan tiub (tubal pregnancy). Apabila kehamilan ini berkembang, ia menyebabkan kesakitan dan pendarahan. Jika dibiarkan, tiub fallopio ini boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman.

“Bagi kandungan normal selepas disenyawakan zigot bergerak melalui tiub fallopio dan memasuki rahim di mana implantasi pada dinding rahim berlaku. Namun atas faktor tertentu, zigot tidak bergerak ke arah rahim sebaliknya berlaku di dalam tiub fallopio. Keadaan ini boleh mengancam nyawa ibu, jika dibiarkan. Untuk itu kehamilan ektopik harus digugurkan sepenuhnya,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar Dr Sharmina, kehamilan ektopik boleh berlaku kepada mana-mana wanita, tapi ada golongan yang dikatakan lebih berisiko tinggi. Antaranya, mereka yang mempunyai masalah pada tiub fallopio. Umpamanya wanita yang pernah mengalami jangkitan kuman pada organ pelvik, pernah membuat pembedahan pada tiub fallopio dan mempunyai endometriosis. Wanita yang pernah mengalami kandungan ektopik juga lebih berisiko tinggi untuk mendapat ektopik berulang.

“Wanita yang pernah mengalami kehamilan di luar rahim mempunyai risiko untuk hamil di luar rahim daripada 1 dalam 100 kepada 1 dalam 10. Malah risiko ini semakin meningkat apabila umur semakin bertambah,” katanya.

Tanda-tanda awal mengandung luar rahim hampir sama dengan haid atau keguguran seperti senggugut dengan kehadiran sedikit darah. Kerap kali ektopik hanya akan dikesan ketika tiub fallopio sudah pecah dan pesakit mengalami pendarahan dalaman. Ini menyebabkan kesakitan, tekanan darah menurun dan jika tidak dirawat cepat, boleh membawa maut. Simptom awal mungkin kesakitan yang sedikit serta pendarahan melalui faraj.

“Oleh itu wanita dinasihatkan bertemu pakar sakit puan sebaik saja disahkan hamil lima minggu awal bagi melihat kandungan berada di tempat yang sepatutnya. Pemeriksaan imbasan dilakukan untuk mengesahkan yang ia bukan kehamilan ektopik. Ada kalanya ujian darah perlu dilakukan untuk memastikannya supaya tindakan selanjutnya boleh dilakukan sekiranya anda hamil ektopik,” katanya.

Bagi wanita yang disahkan mengandung luar rahim doktor akan mengeluarkan kandungan ektopik itu menerusi pembedahan secara laparoskopi atau laparotomi. Secara umumnya tiub fallopio juga akan dikeluarkan. Jenis pembedahan juga bergantung kepada keadaan pesakit dan doktor yang merawat. Ada kalanya, ektopik boleh dirawat menerusi pengambilan ubat atau secara konservatif, tetapi ini hanyalah jika kandungan ektopik dikesan pada peringkat awal.

“Rawatan cara ini memerlukan pemeriksaan rapi dan terdapat kemungkinan pembedahan masih perlu dilakukan. Ini bagi memastikan ibu berada dalam keadaan selamat dan boleh mengandung semula. Ini sangat penting kerana sekiranya tiub fallopio pecah ia menyebabkan pendarahan dalaman yang serius dan jika tidak dirawat segera ia boleh membawa maut,” katanya.

Selepas pembedahan dilakukan, bagi membolehkan wanita itu hamil semula bergantung kepada keadaan pesakit. Sekiranya pesakit sihat, tidak mengalami kekurangan darah dan pulih dari pembedahan, mereka boleh hamil semula. Tapi, dinasihatkan mendapat pemeriksaan imbasan awal pada kandungan seterusnya supaya kehamilan ektopik, boleh dikesan awal.

“Adalah sangat penting membuat pemeriksaan awal sebaik saja haid tidak datang seperti biasa. Ini membolehkan kehamilan ektopik dapat dielakkan,” katanya.

Katanya lagi kebanyakan wanita bimbang, peluang untuk hamil lagi akan terjejas selepas pembedahan membuang saluran tiub fallopio.

“Apa yang boleh saya katakan peluang untuk hamil tetap sama walaupun ada satu tiub saja. Cuma ia kehamilan mungkin terjejas disebabkan individu itu sememangnya mempunyai masalah kesuburan. Perlu diingatkan ektopik dan kesuburan tiada kaitan kecuali pesakit mempunyai masalah endometriosis atau jangkitan pada tiub,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 11:45 AM