WANITA perlu peka tahap kesihatan kesuburan mereka. FOTO Sumber Google
WANITA perlu peka tahap kesihatan kesuburan mereka. FOTO Sumber Google
Hafiz Ithnin

WANITA secara lumrah ingin memiliki anak dan bergelar ibu.

Namun tidak semua wanita berpeluang memiliki anak meskipun beberapa kali mencuba secara kaedah semula jadi tanpa bantuan perubatan atau ubat-ubatan.

Pengasas dan Perunding Kesuburan Kanan, Metro IVF, Dr Tee Swi Peng berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan wanita tidak dapat hamil secara normal terutama berumur 35 tahun ke bawah.

Jika dalam masa setahun tidak hamil tanpa menggunakan sebarang alat pencegah kehamilan, kemungkinan wanita berkenaan mempunyai masalah kesuburan.

Salah satu daripadanya adalah saluran tiub fallopian tersumbat.

"America Society Reproductive Medicine menyatakan ia suatu fenomena yang biasa dialami wanita kerana dianggarkan 25 hingga 30 peratus wanita yang tidak dapat hamil disebabkan tiub tersumbat atau kerosakan tiub.

MASALAH kesuburan boleh memberi kesan untuk hamil. FOTO Sumber Google
MASALAH kesuburan boleh memberi kesan untuk hamil. FOTO Sumber Google

"Wanita mempunyai dua fallopian tiub dan kadangkala hanya satu sisi yang tersumbat dan kemungkinan kedua-duanya. Kadangkala apabila tersumbat, ia bengkak dan membentuk banyak cecair dalam tiub yang dipanggil hysterosalpingogram. Cecair itu sangat toksik dan apabila mengalir dalam rahim boleh menyebabkan wanita sukar untuk hamil," katanya.

Jelasnya, tiub fallopian adalah organ reproduktif wanita yang menghubungkan ovari dan rahim.

Setiap bulan, ketika waktu subur atau dikenali sebagai ovulasi, pada hari ke-14 dalam kitaran haid wanita, tiub fallopian ini membawa telur daripada ovari ke dalam rahim di mana persenyawaan dan implantasi berlaku.

"Kehamilan juga boleh berlaku dalam tiub fallopian. Jika telur itu sudah disenyawakan dengan sperma suami, ia akan bergerak melalui tiub kepada rahim untuk menempel yang juga dikenali sebagai proses implantasi.

"Sekiranya tiub fallopian berkenaan tersumbat, laluan sperma untuk tiba kepada telur wanita tersekat dan seterusnya membuatkan tiub terbabit tersumbat," katanya.

Katanya, tiub fallopian juga boleh rosak jika wanita mempunyai jangkitan bakteria dan ada kalanya ia menular hingga bahagian dalam faraj dan rahim.

Tambah pakar itu, jangkitan bakteria seperti Chlamydia dan Gonorrhea mampu menghancurkan silia dalam tiub atau menyebabkan tiub tersumbat.

Sekiranya pesakit menjalani pembedahan sebelum itu terdapat kemungkinan boleh merosakkan tiub seperti kehamilan luar rahim atau dikenali sebagai kehamilan ektopik.

"Tiada sebarang tanda awal untuk mengenali kerosakan tiub berlaku. Pesakit mungkin mengesyaki mengalami kerosakan tiub jika sebelum ini mereka pernah mengalami jangkitan pada pelvis atau pernah menjalani pembedahan seperti ektopik atau endometriosis.

"Wanita amat disarankan untuk histerosalpingogram atau lebih dikenali sebagai ujian HSG supaya mereka mengetahui lebih lanjut sekiranya mempunyai masalah tiub.

"Kerosakan atau penyumbatan tubal juga boleh berlaku di antara kehamilan. Selepas bersalin, mungkin terdapat jangkitan yang boleh menyebabkan kerosakan pada tiub dan kemungkinan endometriosis. Gumpalan darah atau pendarahan beku juga boleh berlaku dalam tiub dan menyebabkan tiub tersumbat," katanya.

MASALAH tiub fallopian tersumbat menyukarkan wanita mendapatkan zuriat. FOTO Sumber Google
MASALAH tiub fallopian tersumbat menyukarkan wanita mendapatkan zuriat. FOTO Sumber Google

Jelasnya, secara ringkas antara kemungkinan tiub fallopian tersumbat disebabkan penyakit radang pelvis, endometriosis, penyakit kelamin, sejarah kehamilan luar rahim dan fibroid.

"HSG adalah prosedur yang minor dan hanya mengambil masa 30 minit dan tidak perlu berpuasa. Prosedur ini dijalankan di pusat sinar-X yang mana sejenis pewarna disuntik dalam rahim dan akan mengisi rongga untuk mengesan jika terdapat sebarang petunjuk tidak normal dari segi struktur rahim.

"Pewarna ini akan bergerak di kedua-dua belah tiub dan mengisi tiub berkenaan. Jika sebahagian atau sepenuhnya tiub disekat pewarna tidak akan bergerak lebih jauh," katanya.

Katanya, selepas HSG, sesetengah wanita mungkin mengalami kesakitan atau ketidakselesaan selama empat jam.

Terdapat kemungkinan sesetengah wanita mengalami sedikit pendarahan sementara waktu.

"Namun, jika tiub terbabit tersekat dan dipenuhi cecair yang dikenali dengan istilah hydrosalphinx, tiub boleh dijangkiti kuman menyebabkan kesakitan pada perut atau demam.

"Untuk pesakit yang mengalami masalah pembengkakan tiub hydrosaphinx yang teruk, doktor pakar mungkin menyarankan ujian diagnostik laparoskopi untuk mengesan tahap masalah tiub itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:30 AM