IBU perlu lebih bersedia dari segi fizikal, emosi, mental dan spiritual untuk menghadapi cabaran, menangani kerenah remaja.
IBU perlu lebih bersedia dari segi fizikal, emosi, mental dan spiritual untuk menghadapi cabaran, menangani kerenah remaja.
HM Digital

Ketika usia kecil, kanak-kanak mudah mengikut arahan ibu bapa atau orang yang dikenali di sekeliling mereka. Pantang disuruh, mereka ringan tangan melakukan apa saja yang diminta, tanpa alasan.

Namun, situasi mungkin berbeza apabila anak mula meningkat remaja. Segelintir mereka sengaja melambatkan pergerakan, menunjukkan sikap acuh tidak acuh, sambil lewa, tidak mendengar arahan dengan baik dan paling mengecewakan, memberi pelbagai alasan termasuk malas.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, kanak-kanak di peringkat sekolah rendah (berumur empat ke 12 tahun) sememangnya sukakan peraturan dan arahan dalam hidup.

“Pada umur sebegini, disiplin cukup mudah diterapkan. Peraturan, arahan dan jawapan yang jelas lazimnya membuatkan mereka lebih tenang. Berbeza kesannya jika kanak-kanak berdepan suasana tegang dan tidak jelas. Mereka akan mudah keliru dan hilang tumpuan.

“Sebab itulah keluarga perlu berada dalam keadaan harmoni untuk anak kecil cemerlang dan bahagia. Namun, selepas melangkah ke alam remaja, mereka mula rimas dengan peraturan dan arahan.

“Ketika ini, mereka mula mengimpikan kebebasan untuk menentukan hala tuju kehidupan dan membuat keputusan sendiri. Berikutan itulah, anak remaja mudah terpengaruh dengan rakan.

“Malah sikap mereka juga akan lebih banyak bergantung kepada adab dan perilaku rakan-rakan. Justeru, kebanyakan keputusan bagi golongan ini dibuat mengikut kemahuan emosi semata-mata,” katanya.

Walaupun sukar menjauhkan anak kecil dan remaja daripada pengaruh negatif di sekeliling, tetapi ia tidak bermakna ibu bapa boleh terus memeluk tubuh, menyediakan ‘ruang kosong’ untuk mereka berbuat sesuka hati.

Kata Zaid, sikap malas dan gemar memberi alasan perlu dihentikan dan diperbetulkan demi jaminan masa depan anak-anak yang lebih cemerlang, gemilang serta terbilang.

“Pertama sekali, ibu bapa perlu faham akan lonjakan emosi remaja yang kadangkala sukar dikawal. Ini mungkin disebabkan hormon yang mula tercipta di dalam badan hasil proses akil baligh.

“Ibu bapa perlu sabar dan cuba memahami bahawa anak remaja sendiri sedang keliru dengan perubahan emosi mereka. Dalam tempoh ini, sokongan dan pembelaan ibu bapa sangat diperlukan dan bukannya leteran atau arahan.

“Berikan sedikit ruang untuk mereka bertindak dengan cara sendiri, bukannya dipaksa mengikuti arahan kita 100 peratus. Kurangkan arahan, sebaliknya lebihkan memberi kuasa kepada mereka. Lambat laun anak remaja akan sedar keikhlasan dan keadilan ibu bapa dalam memenuhi segala keperluan dan kehendak mereka. Ini akan menjurus mereka untuk lebih bekerjasama secara positif,” katanya.

JANGAN MUDAH MELENTING

Menjelas lanjut, Zaid berkata, banyak pengajaran positif yang boleh diberi kepada anak-anak yang malas atau suka bertangguh. Begitupun, cuba elakkan daripada memberi lebih banyak leteran dan arahan.

“Ubah strategi ke arah ‘mengajak’ mereka untuk melakukan sesuatu bersama-sama. Mulakan dengan perkara mudah seperti makan bersama dan solat berjemaah di rumah. Sediakan juga ruang untuk mereka melakukan aktiviti tersendiri tanpa kongkongan ketat.

“Ini yang kita namakan sebagai memberi kebebasan di dalam sempadan. Mereka memerlukan ruang untuk mencari dan mencipta identiti sendiri, tetapi masih berada dalam batasan nilai, adat, budaya serta agama.

“Ibu bapa pula hanya perlu memantau dan sentiasa bersedia untuk menyokong dan mendokong usaha mereka, terutama ketika anak-anak jatuh atau dihambat perasaan kecewa,” katanya.

Tambahnya, menarik perhatian anak untuk bersikap rajin wajar dimulakan dengan mengadakan mesyuarat keluarga. Dalam perbincangan itu, zahirkan dengan jelas permintaan supaya anak-anak boleh turut serta membantu melakukan kerja di rumah.

“Adakan mesyuarat dalam suasana positif, pada waktu yang sesuai, bukannya ketika suasana tegang. Buat perjanjian dengan mereka bahawa anda akan menghargai setiap pertolongan dalam pelbagai cara yang dibincang dan dipersetujui bersama.

“Contohnya, mereka boleh mengumpulkan mata untuk ditukarkan dengan ganjaran nanti. Anda juga boleh meletakkan upah untuk setiap tugasan yang berjaya dilaksanakan dengan baik di rumah, seperti menyapu, mengemop lantai dan mencuci pinggan.

“Mungkin ada yang merasakan kaedah ini tidak sesuai, namun bagi saya ia langkah adil. Upah boleh diberi jika tugas dilakukan dengan baik. Lama kelamaan, perasaan ikhlas u­ntuk membantu akan timbul tanpa memerlukan upahan lagi.

“Pada masa sama, berikan inspirasi kepada mereka dengan cara menjadi ibu bapa yang positif dan penyayang, tidak cepat melenting dan sentiasa berlaku adil terhadap anak-anak. Lambat laun mereka akan menghargai usaha anda ini dan akan menjadi lebih mudah memberikan kerjasama kepada keluarga,” katanya.

PERANAN IBU BAPA

Sama ada suka atau tidak, Zaid menegaskan bahawa seorang bapa perlu terbabit sama dalam membangunkan sikap cemerlang dalam diri anak-anak, sekali gus memastikan suasana di rumah sentiasa positif.

“Bapa boleh memulakan inisiatif untuk mengajak seluruh ahli keluarganya bermesyuarat dan meluahkan perasaan masing-masing. Beliau perlu tegas tetapi adil kepada semua pihak, termasuk ibu dan anak-anak. Gunakan kuasa bapa bagi menyatukan ahli keluarga, bukannya untuk kepentingan peribadi.

“Mahu tak mahu, bapa masih lagi ketua keluarga. Beliau bertanggungjawab untuk menentukan arah tuju keluarga ke jalan yang betul. Beliau perlu bijak dan sabar dalam mencari jalan yang boleh diterima oleh semua pihak. Jika keluarga sedang berkonflik, bapa perlu menjadi pendamai. Jika keadaan mendesak, contohnya si ibu juga bekerja, bapa perlu turun padang untuk turut sama membantu.

“Untuk itu, bapa perlu sentiasa menjaga tingkah laku dan percakapannya supaya sentiasa dihormati ahli keluarga dan menjadi teladan yang baik. Bapa perlu sedar bahawa anak-anak mungkin boleh lupa semua nasihatnya, tetapi mereka akan sentiasa mencontohi tonggak dalam keluarga,” katanya.

Tidak lengkap institusi keluarga tanpa kerjasama ibu, selaku pengurus rumah tangga. Jelas beliau, ibu perlu lebih bersedia dari segi fizikal, emosi, mental dan spiritual untuk menghadapi cabaran, menangani kerenah remaja.

“Jalan terbaik bagi ibu adalah meningkatkan ilmu untuk memahami apa yang sedang dialami anak-anak pada peringkat ini. Tekadkan azam untuk terus bersabar dan tidak mudah melenting walau apa saja cabaran dan dugaan dihadapi.

“Rebutlah peluang untuk berdamping dengan anak remaja selaku rakan baik mereka. Berhenti menjadi ibu buat seketika, sebaliknya mainkan peranan sebagai teman dan sahabat kepada anak remaja.

“Bukan setakat orang tua, anak-anak juga perlu sedar bahawa walaupun mereka rasa diri sudah dewasa, namun hakikatnya seorang remaja masih tidak terlepas daripada tanggungjawab ibu dan bapa.

“Bukalah hati untuk menerima teguran dan pandangan orang lain. Anda tidak perlu mengikut semua yang disuarakan ibu bapa, namun sekurang-kurangnya tidak menolak nasihat mereka begitu saja.

“Ucapkanlah terima kasih sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan ibu bapa dan keluarga. Sedarilah bahawa mereka berniat baik walaupun caranya mungkin menyinggung perasaan atau tidak disukai,” katanya.

TIP MENGERATKAN HUBUNGAN

1. Lebihkan aktiviti bersama yang memberi peluang untuk setiap ahli keluarga bergantung antara satu sama lain.

Contohnya, apabila merancang percutian, pastikan setiap ahli keluarga mempunyai tugas tersendiri. Anak-anak yang celik IT boleh menggunakan Internet untuk mencari tawaran hotel terbaik. Mereka juga boleh membuat perancangan sepanjang percutian. Ibu bapa boleh menjadi penasihat.

2. Selain bercuti, aktiviti harian juga boleh merapatkan hubungan. Tugasan di rumah dibahagi secara adil mengikut kemampuan masing-­masing. Lebihkan pujian dan kurangkan kritikan. Janganlah mengharapkan kesempurnaan dari anak-anak, sebaliknya berikan tunjuk ajar secara berhemah.

Jika ini dilakukan secara konsisten, tidak mustahil keluarga anda akan menikmati suatu hubungan yang sangat unik dan bahagia, di dunia dan akhirat. -Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:35 PM