GAYA asuhan membentuk peribadi anak
GAYA asuhan membentuk peribadi anak
Intan Mas Ayu Shahimi

Tidak kira masyarakat, bangsa mahupun agama, semua ibu bapa di dunia ini mahu setiap anak yang dilahirkan, dididik dan diasuh menjadi orang berguna serta berjaya dalam hidup.

Namun, mengasuh dan mendidik tidak pernah mudah, sebaliknya kian mencabar dari hari ke hari. Setiap pilihan dan keputusan dibuat perlulah sentiasa rasional, berpaksikan kepada rasa tanggungjawab dan hormat-menghormati.

Dalam kebanyakan situasi, asuhan dilihat menjadi titik penting dalam membentuk modal insan cemerlang. Ia membawa tiga makna iaitu melindungi, mendidik dan membesarkan anak.

Meneliti dari dekat, asuhan adalah peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan permata hati, merangkumi setiap sudut keperluan termasuk fizikal, emosi, intelek, perlindungan dan spiritual.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, bentuk asuhan ibu bapa boleh dianggap sebagai kata kunci paling kritikal dalam membentuk peribadi seorang anak berikutan cenderung meninggalkan pengaruh dalam kehidupan individu di masa akan datang.

“Kerap kali kita diingatkan bahawa, jika anak remaja diasuh dengan seimbang sejak kecil, mereka akan membesar menjadi insan menyenangkan.

“Begitu juga dengan anak yang dibesarkan dengan asuhan negatif, sudah pasti mereka juga akan membesar sebagai seorang yang melihat dunia dari kaca mata serong.

“Tambahan pula zaman remaja adalah tempoh peralihan paling mencabar. Ketika ini mereka mula mengalami perkembangan fizikal, daya fikir dan menyedari kecenderungan serta kemampuan diri,” katanya.

Tiga corak asuhan

Mungkin ramai ibu bapa terlepas pandang pada perkara ini. Setiap kali menyebut soal asuhan, kebanyakan daripada kita mudah terarah kepada perkara yang positif sahaja.

Asuhan dianggap sebagai didikan untuk membentuk peribadi dan sikap baik anak-anak. Namun, tidak ramai yang sedar bahawa asuhan juga boleh merosakkan kehidupan individu.

Mengikut ahli psikologi Barat, Diana Blumberg Baumrind, terdapat tiga jenis gaya asuhan ibu bapa yang boleh dibahaskan iaitu autoritatif, autoritarian dan permisif.

Malah satu kajian tempatan bertajuk Gaya Asuhan Ibu Bapa Remaja Terhadap Tingkah Laku yang dijalankan Mohd Sofie Bahari dan Profesor Madya Dr Azizi Yahaya dari Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia turut memperincikan ketiga-tiga gaya asuhan ini.

GALAKKAN anak mencuba.
GALAKKAN anak mencuba.

“Mereka menyebut ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan autoritatif mampu mengawal dan bertanggungjawab terhadap anak-anak.

“Gaya asuhan bersifat rasional dan demokratik ini dapat membentuk anak berfikiran positif, aktif bersosial, bertanggungjawab dan kompeten dari aspek kognitif.

“Hasil kajian itu juga mendapati bahawa komunikasi baik antara ibu bapa dan anak turut membantu mewujudkan suasana keluarga yang aman tenteram serta remaja bersikap positif,” katanya.

Berbeza dengan ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan autoritarian, mereka selalunya lebih suka mengawal, tetapi kurang bertanggungjawab.

“Anak-anak yang dibentuk dengan gaya asuhan ini cenderung berfikiran negatif, sering memberontak, pendendam, kerap bimbang, cemas, khuatir, pendiam, pemalu, mempunyai konsep kendiri rendah dan kurang motivasi untuk berdikari. Paling utama, mereka mudah bermusuhan sekiranya dikecewakan,” katanya.

Jelasnya lagi, gaya asuhan autoritarian ketara apabila ibu bapa lebih selesa memilih pendekatan hukuman dan peraturan ketat serta tidak membenarkan anak-anak mempertikaikannya.

Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan persekitaran tidak sihat kepada perkembangan kendiri remaja sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai gejala yang tidak sihat seperti buli, lepak, pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan dan sebagainya.

HORMATI pendapat anak walaupun tidak bersetuju.
HORMATI pendapat anak walaupun tidak bersetuju.

“Akhir sekali adalah gaya asuhan permisif. Ia merujuk kepada ibu bapa mesra dan bertanggungjawab, tetapi lemah dalam kawalan. Mereka cenderung mendidik anak menjadi seorang yang terlalu bergantung, kerap meminta dan impulsif.

“Kelompok ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan ini lazimnya tidak mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan anak-anak.

“Tindakan mereka mudah mendorong rasa kecewa di hati anak. Justeru, tidak hairan jika anak merasakan ibu bapa mereka lebih mementingkan diri berbanding urusan keluarga yang sewajarnya,” katanya.

Mengulas keseluruhan hasil kajian terbabit, Zaid berkata, nampak jelas gaya asuhan autoritarian dan permisif mudah mendatangkan kemudaratan kepada remaja kini.

“Ibu bapa yang terlalu mengongkong dan mengawal segala pergerakan anak dipercayai akan melahirkan kelompok remaja yang kuat memberontak, emosinya tidak stabil dan sukar bersosial secara positif.

“Sementara ibu bapa yang terlalu permisif pula akan menghasilkan remaja yang kurang keyakinan diri dan mudah terpengaruh dengan pelbagai gejala negatif seperti yang kita lihat, hari ini,” katanya.

Memilih kawan

Sejak dulu, kaum ibu memang tidak pernah terpisah daripada pelbagai bentuk nasihat, khusus buat anak-anak tersayang. Peringatan paling popular sebaik anak menginjak ke alam remaja adalah gesaan supaya mereka selalu bijak memilih kawan.

Mengajar anak memilih kawan mungkin dianggap suatu bentuk diskriminasi atau prejudis oleh sesetengah orang. Namun, realitinya tiada seorangpun ibu bapa yang suka jika anak mereka bergaul dengan kelompok pembuli, penagih, pencuri atau kerap ponteng sekolah.

Pada zaman serba canggih ini, kesilapan memilih kawan sering dikaitkan sebagai punca remaja semakin berani bertindak liar dan sukar dikawal.

REMAJA adalah saat perkembangan fizikal dan daya fikir melalui perubahan.
REMAJA adalah saat perkembangan fizikal dan daya fikir melalui perubahan.

“Salah satu keperluan penting ketika menempuh usia remaja adalah bersosial dan berkawan. Mungkin ia kedengaran biasa, namun ibu bapa wajar memberi lebih perhatian terhadap hal ini.

“Ketahui bahawa remaja perlu dididik untuk memilih kawan yang baik. Mulakan dengan diri sendiri dan tunjukkan teladan yang baik apabila berkawan.

“Ini penting kerana jika kita sendiri tidak melayan kawan dengan baik, anak-anak akan terikut sama. Berikan tunjuk ajar secara positif mengenai peranan anak dan rakan-rakan mereka terhadap satu sama lain.

“Pastikan mereka boleh menerima sesiapa sahaja sebagai kawan dan bukannya terlalu memilih atau mendiskriminasi. Dalam masa sama, pastikan mereka tahu cara menangani tekanan daripada rakan serta mengelak sebarang pengaruh negatif yang boleh merosakkan diri,” katanya.

Ilmu kesihatan seksual

Satu daripada masalah sosial yang paling digeruni ibu bapa kepada anak remaja kini adalah ancaman seks luar nikah. Kebimbangan lebih dirasai oleh ibu bapa yang mempunyai anak perempuan apatah lagi yang tinggal jauh daripada pandangan.

Malah statistik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2011 menunjukkan hampir 5.8 peratus remaja di Semenanjung Malaysia berusia di antara 13 dan 14 tahun pernah melakukan hubungan seks luar nikah.

Lebih membimbangkan apabila kajian berkenaan turut mendedahkan bahawa kelompok remaja berusia 18 hingga 24 tahun adalah yang paling aktif secara seksual.

Apa yang boleh dilakukan ibu bapa? Sama ada suka atau tidak, ibu bapa perlu lebih berani untuk berbicara mengenai ilmu kesihatan seksual dengan anak remaja.

Ini kerana, semakin banyak perkara betul diketahui mengenai seks, kemungkinan besar mereka akan lebih takut untuk mengadakan hubungan luar nikah.

LENGKAPKAN diri anak perempuan, dengan ilmu kesihatan seksual dan reproduksi.
LENGKAPKAN diri anak perempuan, dengan ilmu kesihatan seksual dan reproduksi.

“Ramai remaja perempuan mudah terpedaya dengan kata-kata manis lelaki. Jadi, cara terbaik untuk ibu bapa turut serta membantu adalah dengan memperlengkapkan diri anak perempuan, khususnya remaja, dengan ilmu kesihatan seksual serta reproduksi.

“Terangkan kepada anak remaja mengenai definisi seksual. Ia tidak hanya membabitkan aspek fizikal semata-mata, tetapi turut mengaitkan emosi, perundangan, sosial dan spiritual. Paling utama, pastikan kita sendiri memahami ilmu ini dari pelbagai dimensi. Tentunya ia akan lebih memudahkan kita untuk menyusun bicara.

“Sementara bagi anak lelaki pula, tanamkan perasaan hormat dan bertanggungjawab kepada wanita. Didik mereka menjadi lelaki budiman, bertimbang rasa dan berfikiran matang. Fahamkan anak lelaki, apa perasaan mereka dan ibu bapa jika adik perempuan sendiri yang hamil luar nikah. Apa perasaan mereka? Diharapkan dengan cara ini, anak lelaki akan menjadi lebih bertanggungjawab dan berfikir banyak kali apabila mempunyai teman wanita kelak.

“Mudah-mudahan, dengan perkongsian ilmu kesihatan seksual dan reproduksi daripada ibu bapa sendiri, anak remaja tidak tercari-cari maklumat daripada sumber lain seperti Internet dan rakan sebaya. Ia mungkin tidak betul dan boleh mempengaruhi mereka ke arah aktiviti seksual yang tidak sihat seperti pornografi dan zina,” katanya.

Paling penting, sentiasa bekalkan anak-anak dengan pengetahuan agama supaya mereka mempunyai pegangan yang lebih kukuh dalam mengharungi zaman serba mencabar ini.

Tip membimbing anak remaja menurut perspektif umum dan pandangan Islam

1. Lebihkan perbincangan berbanding arahan. Perbincangan akan merangsang mereka berfikir secara matang.

2. Hormati pendapat mereka walaupun anda tidak bersetuju.

3. Cuba fahami situasi mereka dengan jujur dan ikhlas, tanpa ego.

4. Dengar dahulu penjelasan anak sepenuhnya dan elakkan daripada menjatuhkan hukuman melulu.

5. Selalu yakin dan menyokong keputusan mereka. Ketahui bahawa remaja mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi.

6. Galakkan anak remaja mencuba pelbagai aktiviti selagi tidak melanggar batasan.

7. Teladani Rasulullah SAW. Baginda menyeru ibu bapa untuk berkawan dengan anak-anak berumur 15 hingga 21 tahun.

8. Sentiasa berlembut dan bermuzakarah dalam segala hal.

9. Elakkan daripada mengenakan disiplin keras dan ketat kerana umur sebegini memerlukan belaian emosi dan sokongan ibu bapa.

10. Berbicara mengenai ilmu seksual dari sudut spiritualiti dan praktikkan sepenuhnya tuntutan syarak seperti akil baligh, aurat dan pergaulan.

11. Ajak anak-anak menghadiri majlis ceramah dan usrah.

12. Wujudkan suasana ‘Rumahku, Syurgaku’.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 1:08 PM