KOLEKSI Ummi untuk wanita menyusu.
KOLEKSI Ummi untuk wanita menyusu.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kerap kali ibu menyusu mengeluh kerana sukar mencari pilihan blaus ringkas yang bukan saja mudah untuk penyusuan bayi, tetapi selesa biarpun terpaksa melayan kerenah si manja di khalayak umum.

Meskipun banyak potongan fesyen untuk ibu menyusu di pasaran, namun tidak semuanya praktikal digayakan ke pejabat atau ketika keluar bersantai bersama keluarga serta teman.

Berbeza dengan baju menyusu inovasi selak dan suap Bondamilk. Jenama hangat di pasaran ini menawarkan pelbagai pilihan koleksi baju menyusu antaranya Ummi Luxe, Ummi Aisya, Ummi Basic dan yang terkini, Ummi Teja serta Ummi Zahra.

Menurut pengasas jenamanya, Hajar Syafiqah Hadzir, koleksi Ummi diberikan perincian pelapik dalam yang menggunakan bukaan tengah, manakala Bonda pula memiliki bukaan bentuk V seperti leher kimono di bahagian dalam blaus.

Katanya, Bondamilk sendiri membawa dua makna berbeza dan saling berkait antara satu sama lain. Bond-a-milk bermaksud ikatan penyusuan, manakala bonda milk pula bererti susu bonda atau ibu.

MUDAH untuk penyusuan di tempat terbuka.
MUDAH untuk penyusuan di tempat terbuka.

“Jika dilihat pada setiap koleksi, semua potongan yang disediakan cukup sopan, menutup aurat dan mampu menyembunyikan bentuk tubuh. Malah, rekaannya tidak kelihatan seperti baju menyusu.

“Ia sesuai digayakan semua wanita tidak kira sama ada mereka mempunyai bentuk tubuh kurus ataupun besar kerana pilihan saiz yang disediakan juga bermula daripada XS hingga XXL,” katanya.

Jelas Hajar, beliau komited menghasilkan baju menyusu yang sopan dan kelihatan seperti pakaian normal. Ini kerana tidak semua wanita selesa dengan potongan baju menyusu yang secara ketara menampakkan fungsinya.

“Ummi Luxe umpamanya, rekaan baju ini lebih trendy dengan perincian lisu di bahagian hadapan, namun selesa untuk penyusuan. Begitu juga dengan rekaan labuh Ummi Aisya dan Ummi Teja, ibu tidak perlu gusar untuk menyelak dari bawah mahupun mendedahkan sebahagian dada ketika menyusukan bayi mereka.

“Semua koleksi Ummi mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia dilengkapi pelapik lembut di bahagian dada yang berfungsi menutup bahagian mudah terdedah ketika menyusukan bayi.

“Secara tidak langsung, ibu boleh menyusukan bayi dengan pantas tanpa memikirkan soal membuka butang dan bahaya zip yang mudah terdedah luas ketika proses penyusuan. Ini sekali gus memberi kelebihan kepada pemakai ketika menyusukan bayi secara sembunyi mahupun di kawasan umum,” katanya.

PRAKTIKAL dan ringkas digayakan.
PRAKTIKAL dan ringkas digayakan.

Tambah Hajar, beliau memahami kesukaran ramai ibu yang mudah panik setiap kali bayi meragam tidak henti dan mahu menyusu segera di tempat awam.

“Mungkin ada segelintir masyarakat umum yang sulit untuk faham situasi golongan ibu di tempat awam. Walaupun ada yang mengatakan penyusuan bayi tidak sepatutnya dilakukan di tempat awam, namun sebagai ibu, mereka lebih arif mengenai kehendak dan keperluan si manja.

“Ada premis yang menyediakan bilik menyusu, namun masih banyak tempat awam yang tidak menyediakan perkhidmatan sewajarnya untuk membantu ibu. Justeru, saya mahu menjadikan koleksi ini alternatif terbaik bagi ibu yang menyusukan bayi.

“Setiap kali bayi mahu menyusu, si ibu boleh berbuat demikian tanpa rasa tertekan atau panik dengan keadaan sekeliling. Fokus utama kami adalah menampilkan rekaan bersesuaian yang dapat meningkatkan lagi keyakinan golongan ibu untuk bergaya.

PRAKTIKAL dan ringkas digayakan.
PRAKTIKAL dan ringkas digayakan.

“Bagi tujuan itu, kami terapkan sentuhan moden kontemporari dengan perincian ringkas dalam setiap helaian pakaian. Ia mudah disuai padan dengan apa saja pilihan termasuk palazo, seluar potongan kembang dan skirt labuh,” katanya.

Selain rekaan dan potongan baju, Hajar juga memilih warna terkini yang menyerlahkan lagi pesona ibu. Ada antara koleksinya mengetengahkan rona pastel dan sebahagian lain bermain dengan warna terang. Untuk kain, Hajar banyak menggunakan como krep, satin, sifon, kapas dan zara untuk menonjolkan gaya lebih formal dan elegan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:02 AM