HAJAR tidak sangka akan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. FOTO/NSTP
HAJAR tidak sangka akan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. FOTO/NSTP
Intan Mas Ayu Shahimi


Biarpun membesar dalam keluarga yang suka berniaga, Hajar Syafiqah Hadzir, 28, tidak pernah berminat memiliki perniagaan sendiri. Hatinya tertutup rapat selepas kerap kali melihat sendiri kesukaran ibu bapanya mencuba pelbagai jenis perniagaan.

“Mereka nampak begitu penat selepas pulang berniaga. Walaupun ada waktunya saya turut menolong di pasar pagi dan malam, minat itu tetap tiada. Saya hanya membantu sehingga mereka berjaya membuka kedai runcit. Itu pun kerana mereka sudah tidak larat ke sana sini atas faktor usia.

“Tamat sekolah menengah, saya menyambung pengajian diploma. Ketika itu saya cukup teruja untuk bergelar jururawat. Namun pada 2009, takdir menemukan saya dengan dunia perniagaan dalam talian.

“Semuanya bermula dengan kakak. Dialah yang memperkenalkan selok-belok niaga kerana ia masih baru. Saya kagum dengan corak perniagaan ini. Ia jauh berbeza dengan menjual barang di pasar hinggakan menarik saya untuk mempelajari kaedah jualan dan transaksi secara lebih dekat,” katanya.

Menurut anak kelahiran Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak ini, dia begitu teruja selepas berjaya menguasai asas perniagaan dalam talian. Enggan bertangguh, Hajar menetapkan sasaran pertama, mahu membeli gajet kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa di kampung.

“Saya menjual pakaian terpakai pada harga serendah RM25. Tak sangka, sambutan diterima cukup memberangsangkan. Secara tidak langsung, itulah yang menjadi titik permulaan saya hingga berjaya membina jenama pakaian remaja sendiri dan kini mengeluarkan pakaian mesra menyusu Bondamilk,” katanya.

BUKAN JALAN MUDAH

Sekalipun berjaya bertahan dalam bidang perniagaan sehingga kini, Hajar berkata, dia tidak pernah dapat meloloskan diri daripada dugaan, ujian dan cabaran sebagaimana wanita lain.

“Kalau dulu bermula bujang, kini saya adalah ibu kepada dua anak yang dijaga sepenuhnya berikutan suami terikat dengan komitmen kerja di perairan Malaysia. Sebagai pasangan jarak jauh, ketiadaan suami di sisi memang menjadi cabaran paling besar. Saya perlu menguruskan anak dan perlu sentiasa bersabar dengan kerenah mereka.

“Saya percaya, jika berasa kosong tanpa kehadiran suami, mereka juga sepi tanpa ayah di sisi. Untuk itu, saya perlu bijak membahagikan masa antara perniagaan dan keluarga. Kedua-duanya adalah penting dan bermakna dalam hidup saya.

“Bagaimanapun, saya beruntung kerana memiliki keluarga mentua yang memahami dan sentiasa membantu apabila diperlukan. Selain keluarga sendiri, merekalah yang menjadi tulang belakang saya semasa ketiadaan suami,” katanya.

Dalam bidang perniagaan pula kata Hajar, cabaran dan ujian datang tanpa jemu. Memandangkan dunia fesyen berputar pantas dan pengusaha pakaian muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, dia perlu kental, kreatif serta pantas dalam membuat sebarang keputusan.

“Alhamdulillah, rezeki apabila diberi ilham mengeluarkan pakaian ibu menyusu. Ramai ibu hari ini berasakan payah untuk menyusukan bayi mereka di tempat awam. Mereka terpaksa membawa beg susu, terkejar-kejar mencari bilik menyusu dan berpatah balik ke kereta untuk menyusukan bayu dengan selesa.

“Di Malaysia, statistik menunjukkan 98.1 peratus bayi berusia kurang enam bulan diberi susu badan, tetapi hanya 47.1 peratus daripadanya berjaya mendapat susu secara eksklusif.

“Sebab itu saya bawa inisiatif mewujudkan pakaian bersesuaian, sekali gus membantu meningkatkan kadar peratus ibu menyusu secara eksklusif, tidak kira di mana mereka berada.

“Paling penting, saya percaya dengan izin-Nya, idea baju menyusu ini dapat membantu meyakinkan ramai ibu untuk terus menyusukan bayi mereka secara eksklusif dengan selesa,” katanya.

Kata Hajar, untuk bersaing di pasaran kini, dia lebih banyak mendekati golongan ibu, terutama wanita yang menyusukan bayi. Malah, majoriti rekaan dihasilkan berdasarkan permintaan dan maklum balas mereka di laman sosial.

“Saya pentingkan hubungan antara kakitangan dan pelanggan. Bagi saya, tanpa mereka, saya tidak mungkin berada di tempat sekarang. Sebagai menghargai kesetiaan mereka, kita anjurkan aktiviti membida pada harga serendah RM3.

“Aktiviti ini memang mendapat sambutan dan mudah merapatkan hubungan sesama kami. Pada aktiviti sebegini juga kita boleh lihat ada ramai ibu mula bersahabat dan mereka seronok serta meraikan kemenangan masing-masing.

“Pada masa sama, saya juga seronok menawarkan daftar keahlian untuk pelanggan. Apabila ada ramai pengikut maka makin meriahlah aktiviti suku tahun seperti menonton wayang, ceramah bimbingan penyusuan dan aktiviti kesenian,” katanya.

Jelas Hajar, melihat hasil usahanya dapat membantu melancarkan proses penyusuan ramai ibu, ia bagaikan memberi kepuasan yang sukar diungkapkan. Lebih daripada itu, dia semakin menghargai setiap kualiti yang ada pada dirinya sendiri.

“Saya percaya, semua wanita mampu mengusahakan sesuatu dalam hidup mereka dan menjadi lebih baik pada masa depan. Selalu saya ingatkan diri supaya jangan mudah berputus asa dalam setiap yang dilakukan. Jika kita terus berusaha dan yakin dengan rezeki Allah SWT, pasti hasil yang kita dapat berbaloi,” katanya.

Keterangan gambar

1. HAJAR

2. BERSAMA kakitangan yang banyak membantu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:00 AM