BERGAMBAR di hadapan salah satu pelamin yang disediakan untuk mempelai
BERGAMBAR di hadapan salah satu pelamin yang disediakan untuk mempelai
Siti Zarinah Sahib

Melangsungkan perkahwinan di bandar besar terutama Kuala Lumpur perlukan banyak duit. Bermula daripada sewa dewan, bayaran katering, pelamin, busana, solekan sehingga kepada hantaran dan cenderahati semua perlu diambil kira. Jika ditolak tambah paling sedikit RM40,000. Perbelanjaan boleh mencecah sehingga RM80,000 ke atas untuk majlis di hotel.

Pengalaman ketika menguruskan majlis perkahwinan yang memenatkan pada 2015 mendorong Idayu Ideris, 27, dan Muhammad Azim Ishuddin, 27, membuka The Wedding Heritage (TWH) yang diibaratkan sebagai pusat sehenti selain menyediakan semua keperluan mempelai dengan konsep berbeza. Perniagaan ini juga bagi membantu pelanggan yang berdepan kekangan kewangan menyediakan keperluan dalam masa singkat.

“Lama kami mencari perunding perkahwinan yang menyediakan semuanya tetapi hampa. Bertemu dengan pakej berkualiti dan disukai namun keperluan disediakan tidak lengkap. Kami perlu bertemu perunding perkahwinan lain untuk memenuhi kekurangan, sudah tentu harga akan meningkat dan di luar kemampuan. Pakej pada harga murah pula kurang diminati lantaran kualiti tidak dijaga,” katanya.

Akhirnya Idayu dan Azim terpaksa juga memilih pakej secara ala carte walaupun kos perbelanjaan menjadi tinggi. Apa yang ada dalam fikiran mereka ketika itu alangkah baiknya sekiranya wang ini digunakan untuk keperluan lain seperti membeli barang kediaman dan juga membayar sewa rumah.

IDAYU dan suaminya, Muhammad Azim bersama-sama menguruskan The Wedding Heritage.
IDAYU dan suaminya, Muhammad Azim bersama-sama menguruskan The Wedding Heritage.

“Ketika itu kami sangat tertekan dan merasakan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan turut berdepan masalah sama terutama yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor. Kebanyakan mempelai pastinya inginkan majlis meriah dengan dihadiri keluarga dan rakan-rakan tetapi pada harga yang berpatutan. Untuk majlis sekali seumur hidup ini, biarlah ia menjadi majlis yang akan diingati selamanya,” katanya.

Bagi mendapat konsep yang diinginkan, pasangan ini terlebih dahulu membuat kajian jenis perkahwinan impian mempelai termasuk kos dan bajet mereka. Pada masa sama, mereka melayari Internet untuk melihat tema yang sering diperkenalkan di luar negara.

“Selain Internet saya banyak membaca majalah perkahwinan luar negara untuk mendapatkan idea. Hasilnya kami menemui sesuatu yang baru, segar dan belum pernah diperkenalkan lagi iaitu perkahwinan banglo mewah yang menampakkan nilai kekeluargaan dan keakraban persaudaraan. Meskipun konsep ini dari Barat namun kami sesuaikan dengan budaya masyarakat Melayu agar ia dapat diterima ramai,” katanya.

Tambahan pula, ia konsep yang mula dicari-cari bakal pengantin kerana menjanjikan keselesaan dan pengalaman seperti berada di rumah sendiri. Hiasan dalaman mewah dan keluasan memukau menjadikan acara tampak gah di mata tetamu. Kelebihan utama banglo apabila turut menyediakan perkhidmatan penginapan supaya ahli keluarga dapat berkumpul menjelang hari persandingan.

Bertemu di lokasi pertama di Ampang dengan hanya memuatkan 500 tetamu, kini TWH mempunyai dua lagi lokasi berbeza iaitu di Kota Damansara yang boleh menempatkan 2,000 tetamu dan Putrajaya dengan jangkaan kehadiran sehingga 3,000 jemputan.

“Untuk lokasi pertama, ia sebuah banglo kecil tetapi tampak mewah. Mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di sini tidak perlu bersusah payah mencari atau menyediakan keperluan kerana semuanya disediakan khusus buat mempelai yang sibuk,” katanya.

Berbeza dengan butik perkahwinan di tempat lain, di sini pengantin hanya perlu ‘membawa diri’ dan tidak perlu risau mengenai hal lain kerana diuruskan sepenuhnya TWH. Ini termasuk katering, kanopi, pelamin, khidmat jurugambar, cenderahati, hantaran dan busana.

Ia juga tidak membebankan keluarga mempelai yang perlu mengemas, menyusun atur semula selepas majlis berlangsung.

Jelas Azim, konsep sebegini ditujukan untuk keluarga yang menetap di kawasan kondominium atau pangsapuri yang memerlukan dewan untuk melangsungkan perkahwinan anak mereka. Individu tidak perlu bersusah payah memikirkan lokasi kerana semuanya sudah disediakan dan lebih penting ia ditawarkan pada harga berpatutan iaitu di bawah RM30,000 untuk acara membabitkan 1,000 tetamu jemputan.

Lebih istimewa, pakej boleh dirunding, misalnya jika mempelai ingin menambah gerai makanan. Jika ada yang ingin menggunakan katering sendiri, kos semakin berkurangan.

“Bakal pengantin boleh memilih pakej lengkap mengikut bajet bermula pada harga serendah RM9,500. Mereka juga boleh berbincang mengenai tema warna dan dekorasi pelamin,” kata Idayu.

AZIM dan Idayu di hadapan banglo perkahwinan di Ampang, Selangor.
AZIM dan Idayu di hadapan banglo perkahwinan di Ampang, Selangor.

Perkenal konsep kongsi rezeki

Jika ada bertanya bagaimana mereka boleh memberikan harga yang rendah pada pakej premium, jelas Azim, dia dan isterinya sepakat mengamalkan konsep perkongsian rezeki. Niat pasangan ini berniaga bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih kepada membantu bakal pengantin menguruskan acara perkahwinan mereka. Untuk itu keuntungan bukan menjadi keutamaan sebaliknya kegembiraan pasangan dan keluarga paling utama.

Rata-rata pelanggan memilih mengadakan majlis di banglo kerana berkahwin dengan pasangan dari luar negara seperti Singapura, Arab dan Nigeria yang mengidamkan acara ringkas tetapi mewah dengan tetamu jemputan dalam kumpulan kecil.

“Kami banyak berurusan dengan pelanggan profesional yang sibuk bekerja, antaranya juruterbang, doktor dan peguam. Biasanya urusan dibuat menerusi e-mel atau WhatsApp. Ia memudahkan pelanggan kerana tidak perlu bertemu beberapa kali. Kami faham kesibukan mereka, jadi semua urusan dilakukan dengan cepat dan tidak membebankan,” katanya.

Azim juga membuka peluang kepada vendor menyertai pakej perkahwinan atas dasar ingin berkongsi rezeki. Setiap perkhidmatan seperti busana, pelamin, solekan dan juga katering disediakan orang lain.

Apa yang penting setiap vendor akan dinilai terlebih dulu bagi menjaga kualiti. Setakat ini semua vendor berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin kerana TWH menyediakan platform promosi bagi memperkenalkan produk mereka.

“Seperti perumpamaan situasi menang menang, kebanyakan vendor di bawah TWH adalah kelompok yang baru mula berniaga. Golongan ini komited memberikan yang terbaik kepada pelanggan selain menggunakan media sosial seperti Instagram dan YouTube sepenuhnya. Selepas mendapat pengalaman dalam acara diadakan dan mereka semakin dikenali, kami mula mencari vendor lain pula. Secara tidak langsung ia sebagai batu loncatan untuk usahawan muda mencipta nama,” ujar Azim.

Begitu juga dengan pekerja yang berkhidmat memasang pelamin, kebanyakannya diambil dalam kalangan pelajar universiti dan kolej yang mencari duit poket ketika cuti semester. Jadi dengan mengambil mereka, TWH dapat memanjangkan rezeki kepada orang lain.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Biokimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baik Idayu mahupun Azim, kerjaya yang disandang sekarang amat jauh berbeza. Namun bagi Idayu, dia sudah terbabit dalam bidang kecantikan sejak di universiti dan menjadi jurusolek sambilan selama lapan tahun.

“Saya berkenalan dengan Azim yang turut bergelar pegawai pemasaran sambilan ketika di kampus membuatkan kami merancang menjadikan TWH satu kenyataan. Percaya dengan kelebihan masing-masing, kami mempunyai bidang tugas berbeza. Saya menguruskan kewangan dan perancangan produk manakala Azim pula dalam bidang pengurusan dan pemasaran,” katanya.

PELAMIN yang disediakan untuk mempelai.
PELAMIN yang disediakan untuk mempelai.

Jelas Azim, sejak belajar di universiti, dia banyak menghadiri kelas strategi pemasaran berkesan. Jadi semua ini digunakan sepenuhnya untuk memperkenalkan perkhidmatan mereka menerusi media sosial di Facebook dan Instagram sehingga dikenali ramai.

Pada masa akan datang mereka merancang memiliki 10 cawangan banglo di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menjelang 2020, dengan harapan ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Bagi pakar perubatan yang hanya dikenali sebagai Dr Dilla, 30, kesibukan tugas sebagai doktor di Sabah menyebabkan dia memilih banglo di Kota Damansara sebagai lokasi acara. Memilih konsep perkahwinan dalam taman, Dilla mengakui sangat sibuk dan hanya sempat membuat tempahan sekali saja dan selebihnya dia memberikan sepenuh kepercayaan kepada TWH menguruskannya.

“Saya tiada di Semenanjung sehingga tarikh perkahwinan. Apabila tiba hari majlis, ia ibarat mimpi kerana di luar jangkaan saya. Seramai 1,000 tetamu hadir meraikan persandingan dengan makanan enak, busana, solekan, pelamin, sistem audio dan penginapan hanya pada harga RM29,500,” katanya gembira.

Bagi guru yang dikenali sebagai Suhaimi, 26, memilih mengadakan perkahwinan di Ampang untuk kedua-dua belah pihak dapat menjimatkan kos. Dia yang berasal dari Kelantan manakala isteri Negeri Sembilan tidak bimbang mengenai kehadiran tetamu yang jauh memandangkan ia eksklusif dan memuatkan 500 jemputan saja.

“Kami sangat berpuas hati kerana semuanya sudah tersedia. Pakej berkualiti dan berbaloi, paling penting ia menjimatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 3:21 PM