KOLEKSI barangan mewah yang diserahkan untuk kebajikan. FOTO Daily Mail
KOLEKSI barangan mewah yang diserahkan untuk kebajikan. FOTO Daily Mail
Agensi

London: Seorang penderma misteri menyerahkan pakaian, beg dan kasut berjenama mewah termasuk Gucci serta Alexander McQueen bernilai RM2.6 juta kepada kedai barangan amal dalam talian.

Derma barangan mewah itu merangkumi 75 beg dan 400 pasang kasut termasuk tas Gucci bernilai £2,500 (RM13,154) yang popular digunakan isteri serta teman wanita bintang bola sepak, selain but Alexander McQueen berharga £1,160 (RM6,104) yang diserahkan kepada Thrift+.

DailyMail melaporkan, Thrift+ turut menerima 150 gaun dan barang kemas bernilai £6,000 (RM32,000) yang kesemuanya dibeli dari gedung fesyen terkemuka di seluruh Eropah.

Barangan mewah lain diterima termasuk rekaan Stella McCartney serta Victoria Beckham, selain jenama lain seperti Louis Vuitton, Emporio Armani dan Reinaldo Lourenco.

BEG tangan Gucci yang didermakan. FOTO Thrift
BEG tangan Gucci yang didermakan. FOTO Thrift

Pengasas Thrift+, Joe Metcalfe berkata: “Kami sungguh terkejut dengan sumbangan yang diberikan ini. Beg Louis Vuitton terjual hanya beberapa minit selepas ia dimuat naik ke Thrift+.”

Harga purata bagi barangan yang dijual di Thrift+ mahal sedikit berbanding di kedai amal biasa, dengan 50 peratus hasil jualan disumbangkan untuk tujuan amal.

Penderma menyumbangkan barangan mereka secara percuma, dan menerima 25 peratus hasil jualan, namun dalam kes ini dermawan berkenaan enggan mengambil sebarang wang.

Sebaliknya ia akan diserahkan kepada organisasi ‘Dress For Success’ yang membantu wanita membuat persediaan bagi kerja pertama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 9:53 AM