SHAHIDA menyemak bacaan Mus’ifah sambil diperhatikan Najmi.
SHAHIDA menyemak bacaan Mus’ifah sambil diperhatikan Najmi.
ERIA pelajar bersama guru dan tetamu kehormat dalam majlis penyampaian sijil penghargaan peserta kem terbabit.
ERIA pelajar bersama guru dan tetamu kehormat dalam majlis penyampaian sijil penghargaan peserta kem terbabit.
MENGGUNAKAN buku rujukan khas.
MENGGUNAKAN buku rujukan khas.
RIADAH sunah menerusi acara memanah.
RIADAH sunah menerusi acara memanah.
Nurul Husna Mahmud


Didikan agama buat golongan istimewa seperti orang pekak dan bisu tidak harus dinafikan kerana mereka mempunyai kaedah tersendiri untuk mempelajarinya.

Baik asas fardu ain sehinggalah kepada celik membaca al-Quran, golongan ini boleh dibimbing dan itulah dilakukan tenaga pengajar dan fasilitator Kem Smart Ibadah al-Quran & Bahasa Isyarat Kau Inspirasiku siri keempat berlangsung di Masjid Bandar Seri Putra, baru-baru ini.

Buat julung kali penulis menyaksikan peserta kem itu ‘memperdengarkan’ bacaan mereka di depan seorang tenaga pengajar, Nor Shahida Mohd Salleh, terbit rasa insaf kerana golongan ini sangat berinisiatif menyempurnakan bacaan ayat suci al-Quran di depan guru.

Daripada gerakan kecil pada jari sehinggalah kepada tangan sambil mulut bergerak-gerak menyebut setiap ayat dengan baik, mereka ini mempunyai kecelikan hati yang cukup tinggi kerana tersimpan keinginan selain teruja dapat bertahmid bersama rakan mahupun guru.

Gadis manis bertudung merah hati, Mus’ifah Sabri berjaya membacakan potongan al-Fatihah dengan lancar di depan Shahida sambil diperhatikan Imam 1 dan Pengurus Masjid Bandar Seri Putra Kajang, Selangor, Nami Yahya. Sebutannya hampir kedengaran sebagaimana orang normal membaca ayat itu.

Kata Syahida, mendidik golongan istimewa membaca al-Quran adalah satu tanggungjawab yang cukup besar kerana memerlukan tenaga pengajarnya mempunyai kemahiran berbahasa isyarat dengan baik selain memahami golongan berkenaan agar sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilangsungkan selancar mungkin.

“Berbanding individu normal yang boleh menyebut dan kita mendengar bacaan mereka, anak istimewa pekak dan bisu ini mempunyai halangan untuk membunyikan sebutan ayat atau huruf hijaiyyah dengan baik.

“Kalau anak normal, biasanya mereka ini menggunakan kaedah ‘fonetik’ atau bunyi seperti Iqra’ yang membolehkan mereka membaca ayat suci dan bacaan lain. Tetapi bagi peserta kem ini, mereka perlu belajar dengan cara yang berbeza.

“Justeru, untuk golongan ini kami kembali kepada kaedah pembacaan muqadam satu ketika dulu. Maksudnya anak bimbingan saya menggunakan cara bacaan mengeja satu persatu.

“Cara ini sebenarnya ialah kaedah standard yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM ) menerusi buku panduan mengaji menggunakan bahasa isyarat untuk program guru JKAF pendidikan khas.

“Ketika tasmid, guru melakukan penilaian secara satu persatu, melihat bahasa isyarat selain gerak bibir peserta agar boleh membaca sebaik mungkin dan pada satu tahap ada yang boleh menyebut atau membaca ayat berkenaan dengan baik.

“Empat elemen diterapkan dalam pengajian al-Quran untuk kanak-kanak khas ini iaitu membaca menggunakan kaedah bahasa isyarat, menyambung dengan tanda bacaan tertentu, hafazan dan tafsiran,” katanya.

PANDANGAN MASYARAKAT

Sudah terbabit secara langsung mengajar golongan itu sejak 2012 lagi di Pusat Pembangunan dan Penyelidikan (RND) Universiti Malaya Petaling Jaya Selangor, Shahida berkata, cabarannya ialah berdepan dengan persepsi masyarakat mengenai cara mereka membaca al-Quran menggunakan bahasa isyarat yang mungkin sukar diterima ramai.

“Saya pernah didatangi ibu bapa yang mengadu anak mereka bergelut dengan isu keyakinan diri untuk membaca al-Quran di khalayak kerana masih ada yang memandang sinis kebolehan golongan ini.

“Satu kisah mengenai pengalaman diceritakan sendiri oleh ibu pelajar yang baru kehilangan nenek. Menurut ibu itu, anaknya menangis tidak henti kerana tidak tahu apakah dia wajar atau tidak menghadiahkan surah al-Fatihah kepada nenek tersayang. Jadi ibu berkenaan mententeramkan anaknya dan menyuruh anaknya membaca.

“Pada mulanya anaknya takut maklumlah dia membaca dengan gerak tangan dan bimbang orang marah kerana melihat dia berkelakuan ganjil. Mujurlah ibu pelajar ini sendiri turut meyakinkan anaknya dan ternyata sokongan seperti itu menenangkan hatinya. Sejak itu pelajar berkenaan tidak teragak-agak membaca al-Quran di depan orang ramai.

“Jadi sokongan ibu bapa dan keluarga amat penting. Malah, ibu bapa juga perlu memeriksa bacaan anak ketika di rumah agar ia menjadi amalan mereka. Sikap ibu bapa yang sering menyokong anak membaca al-Quran di tempat umum seperti masjid dan program agama seperti tadarus membuka jalan kepada anak untuk lebih yakin. Pada masa sama, ia turut membolehkan orang sekitar memahami cara orang pekak dan bisu membaca ayat suci al-Quran,” katanya.

SYUKUR TIDAK TERHINGGA

Bagi peserta kem, Mus’ifah Sabri, dia gembira dapat menyertai kem berkenaan kerana dapat memperbaiki bacaan al-Quran.

“Bagi golongan istimewa seperti kami, tidak banyak ruang dan peluang untuk menyertai kelas pengajian luar. Jadi apabila adanya kem seperti ini pada musim cuti sekolah, saya akan menyertainya.

“Bukan saja mengaji, kami mempelajari amalan ibadat lain termasuklah cara solat dan riadah sunah seperti memanah yang dapat membantu meningkatkan keyakinan diri,” katanya yang mula mempelajari membaca al-Quran ketika berusia 13 tahun.

Menurut Ustaz Ahmad Rozaimi, pendekatan lain juga diketengahkan menerusi kaedah interaktif mengenai pengisian agama termasuklah dalam mempelajari al-Quran.

“Dalam kem siri keempat dengan 26 ahli termasuk tenaga pengajar ini, semestinya kami mahu mewujudkan generasi orang kurang upaya pekak bisu mengenali dan mencintai al-Quran.

“Tidak dinafikan mereka ini ada kekurangan tetapi tersembunyi hikmah sebaliknya kerana anak mempunyai kaedah tersendiri membaca dan mempelajari al-Quran. Mereka perlu ada peluang itu dan kami dari Akademi Tahfiz Pekak cuba menawarkan ruang itu untuk golongan berkenaan.

“Kami turut mendapat sokongan Persatuan OKU Berdaya Saing Hulu Langat dan Masjid Bandar Seri Putra menyediakan kemudahan tempat untuk menganjurkan program berkenaan. Interaksi ini diharap dapat mencerna persekitaran mesra buat anak kem ini supaya mereka dapat terus membaca dan mempelajari al-Quran,” katanya.

Ketika ini kelas pengajian al-Quran bahasa isyarat turut dilangsungkan setiap Sabtu di Seri Melati Selayang Jaya dan Kafa Pekak di Pandan Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 12:14 PM