RAJA Mohamad Amin (kiri) bersama Saidatul Nurlin (tengah) dan Tay berbangga membawa nama universiti ke puncak.
RAJA Mohamad Amin (kiri) bersama Saidatul Nurlin (tengah) dan Tay berbangga membawa nama universiti ke puncak.
HM Digital

Berdepan cuaca mencabar dan kecekalan mengharung liku serta ranjau demi menggapai impian menawan puncak Gunung Kinabalu adalah pengalaman berharga tidak mungkin diperoleh tanpa kesungguhan dan semangat yang tinggi.

Buat pendaki tegar atau mereka yang gemarkan aktiviti lasak, pasti menawan gunung tertinggi di Malaysia itu antara impian yang mahu dicapai dalam hidup.

Bagi empat penuntut dari Universiti Lim Kok Wing (LKWU) ini, sejarah tercipta buat mereka apabila menerbitkan dokumentari mengharung cabaran dan ranjau ke puncak Gunung Kinabalu.

Mereka menjayakan penerbitan berjudul Incredible Journey menerusi ekspedisi yang mengambil masa tiga hari dua malam bermula 27 Disember lalu.

Ketua ekspedisi merangkap pengarah Raja Mohamad Amin Raja Azhar berkata, dokumentari itu memaparkan cabaran perjalanannya mendaki gunung itu dan pengalaman bersama tiga rakan sepasukan.

Katanya, berbekal persediaan, semangat dan sokongan banyak pihak, mereka menakluki kemuncak tertinggi di Malaysia itu meskipun berdepan cuaca sejuk dan terpaksa membawa peralatan penggambaran untuk merekodkan perjalanan.

“Ekspedisi ini bagi memenuhi projek dalam subjek Documentary in The Digital Age dengan objektif utama untuk memberi gambaran sebenar cabaran ketika mendaki di samping mendidik orang ramai mengenai pentingnya menjaga flora dan fauna.

“Perjalanan kami membabitkan jarak sejauh 8.5 kilometer (km) dan mengambil masa sembilan jam dari Timpohon ke Laban Rata, disambung enam jam lagi untuk ke puncak yang dikenali sebagai Low’s Peak.

“Perjalanan mencabar terpaksa kami tempuhi dan cuaca sejuk ditambah dengan bebanan peralatan penggambaran seberat 40 kilogram benar-benar menguji kekuatan fizikal dan mental. Kami dibantu empat kru dan dua malim gunung hingga ke puncak,” katanya.

Selain Raja Mohamad Amin, tiga lagi pelajar Sarjana Filem Digital dan Televisyen LKWU yang menyertai ekspedisi itu adalah Saidatul Nurlin Ahmad Hishamnuri selaku penerbit, Pengarah Fotografi Tay Sheik Er dan Pengarah Produksi Aftab Alam.

Menurutnya, keadaan cuaca sejuk dan berangin hingga mencatat suhu dua darjah Celsius turut memperlahankan pergerakan mereka ketika penggambaran selain kesukaran bernafas turut menjadi cabaran hebat buat mereka.

Bagaimanapun, katanya, kesungguhan kumpulan itu nyata berbaloi memandangkan mereka pelajar pertama menerbitkan dokumentari sekali gus membawa nama LKWU ke puncak Kinabalu.

“Lebih menggembirakan puncak tertinggi itu terletak di negara kita. Sebagai rakyat Malaysia, kami amat terharu dapat menjejakkan kaki di puncak tertinggi bumi sendiri bersama-sama pendaki dari seluruh dunia.

“Selain amat terharu melihat keindahan alam sepanjang pendakian itu, ekspedisi terbabit mendidik semangat setia kawan dan mengajar kami pentingnya kerjasama dalam menjayakan projek ini.

“Selain itu, ekspedisi juga bertujuan memberi motivasi kepada peserta dengan menguji ketahanan mental dan fizikal mereka,” katanya.

“Pendakian itu mengingatkan saya akan kebesaran dan keagungan Allah dalam ciptaan-Nya ke arah kesejahteraan semua makhluk di muka bumi ini,” katanya.

Katanya, kepuasan dan kenikmatan berada di puncak tertinggi di Asia Tenggara itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata malah hanya pengalaman dapat menterjemahkan perasaan semua ahli dan ketika ini, segala kesakitan serta penat lelah dirasakan berbaloi.

Raja Amin berkata, dokumentari berkenaan akan dipertontonkan kepada pelajar LKWU, selain dirancang untuk disiarkan di sebuah stesen televisyen tidak lama lagi. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 2:35 PM