Hasrullah bergambar ketika dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu semalam. - Foto Ihsan Pembaca
Hasrullah bergambar ketika dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu semalam. - Foto Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Kekurangan diri pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Hasrullah Azrulkhan, 24, yang bergerak dengan mengensut atau merangkak kerana tidak mempunyai kaki sehingga paha, tidak menghalang insan istimewa itu untuk mendaki Gunung Kinabalu.

Walaupun hasrat Hazrullah yang mesra dipanggil Adam untuk menawan puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu gagal, namun dia sewajarnya berbangga kerana boleh sampai ke Sayat-Sayat iaitu pada ketinggian 3,700 meter dari paras laut dengan hanya bergantung kepada kedua-dua tangannya untuk mengensut atau merangkak.

Pelajar jurusan komunikasi berasal dari Kuching, Sarawak, itu mula mendaki dari Pondok Timpohon pada jam 6 pagi semalam, dan tiba di penginapan Laban Rata, kira-kira jam 8 malam sebelum mendaki semula kira-kira jam 1 pagi untuk ke puncak.

"Namun selepas enam jam bergerak dengan menginsut, saya hanya mampu sampai di Pusat Pemeriksaan Sayat-Sayat.

"Ketika itu waktu sudah 7 pagi dan pendaki lain mula turun dari puncak sedangkan saya masih di Pusat Pemeriksaan Sayat-Sayat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Adam yang cacat sejak lahir tetap gembira kerana dapat merasai cabaran mendaki Gunung Kinabalu.

"Faktor suhu yang sejuk selain masa yang suntuk antara penghalang untuk saya menawan puncak Gunung Kinabalu.

"Namun saya tidak putus asa dan akan mencuba lagi sehingga berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 8:22 PM