TERAPI antara solusi membantu mereka yang ada GD kembali mengenal fitrah diri.
TERAPI antara solusi membantu mereka yang ada GD kembali mengenal fitrah diri.
Nurul Husna Mahmud


"Jangan panik, sebaliknya santuni anak dengan semampu mungkin supaya dapat membina komunikasi yang baik. Elakkan terlalu mudah membuat kesimpulan anak sudah tersasar dari fitrahnya," itu kata Perunding Psikologi Klinikal Klinik Psikologi Azlina, Azlina Roszy Mohamad Ghaffar sebaik ditanya mengenai perilaku anak lelaki jika suka bermain masak-masak atau anak patung.

Kata pakar itu, masalah kecelaruan jantina atau lebih dikenali dengan 'gender dysphoria' (GD) terlalu kecil berlaku pada kanak-kanak. Ini kerana perubahan tingkah laku individu berlaku seiring dengan perkembangan usia mereka.

Namun kemungkinan GD boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanakterutama mereka yang terdedah dengan sentuhan seksual yang tidak diingini atau pernah menjadi mangsa penderaan.

"GD dalam kalangan kanak-kanak terlalu rendah untuk berlaku kerana pada usia berkenaan mereka masih dalam peringkat bermain dan bersosial.

"Kanak-kanak terutama pada usia tiga atau empat tahun apabila mereka bermain drama atau 'play role,' biasanya akan menukar peranan atau meniru perlakuan karakter tertentu menyebabkan aktiviti dilakukan melangkaui kebiasaan diri atau jantina mereka.

"Contohnya apabila seorang kanak-kanak lelaki bermain dengan kakak, adik atau kawan perempuan, ada ketika mereka terpaksa 'melayan' kerenah kumpulan bermain kerana itu sebahagian dia cara bersosial.

"Kesukaan atau hobi anak-anak juga tidak bersifat kekal dan berubah apabila mereka mula bersekolah. Ruang lingkup atau sosial juga sudah berubah iaitu kebiasaan akan selesa bergaul dan memiliki hobi mengikut fitrah jantina mereka," katanya.

IBU bapa diingatkan agak tidak panik jika lihat si kecil hadapi kecelaruan jantina.
IBU bapa diingatkan agak tidak panik jika lihat si kecil hadapi kecelaruan jantina.

Tambah pakar itu apabila di peringkat sekolah, anak-anak akan bersosial dengan rakan dalam kelompok jantina yang sama dan mereka ini akan 'menyerap' karakter atau personaliti maskulin bagi kanak-kanak lelaki sementara feminin bagi kanak-kanak perempuan.

Tetapi keadaan luar biasa apabila kanak-kanak itu menunjukkan perubahan tingkah laku konsisten kepada tingkah laku sekunder (merujuk tingkah laku berlawan dengan jantina biologi) disusuli perasaan mendalam terhadap menjadi individu atau jantina berlawanan.

"Ibu bapa perlu risau apabila kanak-kanak contohnya lelaki berterusan menunjukkan minat mendalam terhadap pemakaian pakaian dan permainan wanita sehingga putus minat terhadap sesuatu yang kebiasaan diminati kanak-kanak lelaki lain sebayanya.

"Sebagai ibu bapa kena bertanya apa yang mereka rasa supaya dapat mengenal pasti perasaan dan emosi dalaman anak-anak masing-masing.

"Terutama mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga mempunyai masalah mental atau psikologi selain memikirkan faktor biologi seperti hormon dan sebagainya menjadi punca anak bersikap sedemikian," katanya.

AZLINA Roszy
AZLINA Roszy

Beliau menjelaskan masalah GD lebih serius jika berlaku pada peringkat remaja dan dewasa. Malah kaedah dan tempoh merawatnya juga bergantung kepada punca ia berlaku.

"Dalam isu GD, orang ramai kena faham terdapat perbezaan kategori ini dengan 'sexual oriented disorder' atau kecelaruan kecenderungan seksual (SOD).

"Kalau golongan transgender ini jatuh dalam kategori GD, mereka ini mengubah jantina biologi kerana berasakan memiliki jiwa jantina sebaliknya.

"Kategori lain seperti gay, lesbian dan biseksual, semua itu adalah SOD. Masalah itu lebih kepada kecenderungan seksual atau menjalin hubungan dengan pasangan lain jenis atau tidak normal," katanya.

Menjelaskan punca lebih serius kata Azlina Roszy, cabaran ibu bapa masa kini ialah kanak-kanak lebih mudah terjerumus dengan isu pendedahan seksual tidak diingini.

PORNO memberi implikasi buruk termasuklah risiko kecelaruan jantina.
PORNO memberi implikasi buruk termasuklah risiko kecelaruan jantina.

"Kebimbangan saya terutama ibu bapa sibuk ialah apabila anak mereka dihantar ke pusat asuhan atau rumah jagaan yang tidak menitik beratkan soal menjaga kehormatan dan sebagainya.

"Apabila kanak-kanak dimandikan beramai-ramai dan mereka melihat alat sulit kawan dan juga membuat perbandingan dengan diri menyebabkan ada kemungkinan mereka mula menyentuh bahagian sulit terbabit.

"Pada mulanya ingin tahu tetapi kita sedia maklum bahagian ini paling banyak saraf menyebabkan kanak-kanak mula rasa seronok dan terangsang sehingga ia menjadi kebiasaan.

"Lebih parah lagi jika ia dilakukan bersama rakan menyebabkan mereka ini mudah terdedah kepada konflik kecelaruan baik GD atau SOD," katanya

Tambah Azlina Roszy lagi, faktor dibuli dan didera juga antara punca paling mudah golongan ini terjerumus kerana mempunyai kesan trauma yang mendalam.

BERMAIN permainan peranan atau ‘play role’ antara aktiviti normal kanak-kanak bermain dengan aktiviti yang berbeza.
BERMAIN permainan peranan atau ‘play role’ antara aktiviti normal kanak-kanak bermain dengan aktiviti yang berbeza.

"GD juga kerap berlaku apabila ibu atau bapa tidak menunjukkan contoh yang baik iaitu sama ada dera atau buli anak mereka secara mental mahupun fizikal.

"Apabila tiada contoh yang baik anak itu tadi tidak berasa imej ibu atau perempuan sebagai contoh untuk diteladani begitu juga dengan bapa. Kesan yang sama juga pada mereka yang dibuli dengan ejekan kerana itu satu bentuk penderaan mental dan emosi sehingga mereka memilih jalan hidup yang salah," katanya.

Faktor lain menyebabkan kanak-kanak terdedah dengan isu GD juga apabila kerap digayakan dengan pemakaian atau gaya hidup berlainan dengan fitrahnya.

"Ada juga kes apabila ibu bapa terlalu inginkan anak lelaki atau perempuan, mereka akan gayakan anak dengan pakaian mengikut jantina anak idaman berbanding jantina biologi.

"Krisis itu terbentuk di awal usia dan menjadi tingkah laku normal pada mereka sehingga sukar diubah. Biasanya saya tekankan pendekatan terapi dengan sentuhan psikospiritual bagi membolehkan mereka kembali dan sedar dengan peranan serta fitrah kejadian diri masing-masing," katanya.

Azlina Roszy turut menyarankan ibu bapa supaya mengamalkan komunikasi dua hala selain menjalin hubungan erat bagi membolehkan masalah kecelaruan itu dapat dikenal pasti.

"Terapi semakin sukar apabila dia semakin lama terjebak. Jadi memang peranan ibu bapa paling utama untuk bantu anak hadapi krisis terbabit.

"Pantau aktiviti, ruang lingkup sosial dan banyakkan aktiviti keagamaan supaya ada asuhan yang dapat memantapkan jati diri anak. Cabaran ibu bapa sekarang lebih hebat kerana bahan porno boleh diperoleh semudah dihujung jari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:10 AM