JANGAN pernah bosan untuk melayan anak-anak kerana anda yang mencorakkannya.
JANGAN pernah bosan untuk melayan anak-anak kerana anda yang mencorakkannya.
Hafiz Ithnin


APABILA anak sudah meningkat remaja atau dewasa ada segelintir ibu bapa yang mula pening dengan sikap mereka yang kadangkala menyakitkan hati. Apatah lagi, si anak sudah bijak 'bermain' kata-kata berdebat dengan si ayah, ibu atau penjaganya.

Jika difikirkan semula, ibu bapa atau penjaga yang mendidik anak-anak ini sejak 'merah' lagi ada kalanya kurang menyedari kesilapan dalam didikan.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, antara faktor berlaku keadaan itu disebabkan ibu bapa atau penjaga tidak mementingkan komunikasi yang baik dengan anak-anak sejak mereka di alam kanak-kanak terutama enam tahun ke bawah.

"Suka saya katakan konsep komunikasi kebanyakan ibu bapa adalah mengarah dan bukan mendengar apa yang ingin disampaikan kanak-kanak itu sendiri.

"Apabila perkara ini berlaku, kanak-kanak tidak melihat ibu bapa atau penjaga mereka sebagai model yang terbaik untuk dijadikan ikutan," katanya.

Menjelaskan secara lanjut, pakar itu berkata, terdapat empat jenis gaya keibubapaan iaitu autoritarian (tinggi kawalan dan kurang kasih sayang), permisif (rendah kawalan dan tinggi kasih sayang), pengabaian (rendah kawalan dan rendah kasih sayang) dan keempat, autoritatif (tinggi kawalan dan tinggi kasih sayang).

"Kita ambil contoh jenis gaya keibubapaan yang jenis autoritarian iaitu jenis suka mengarah sahaja dan berasakan sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka mempunyai kuasa dominiasi dalam komunikasi kepada kanak-kanak.

"Jadi, dalam keadaan ini, kanak-kanak tidak akan diberi peluang untuk bercakap atau meluahkan perasaan sekiranya dalam keadaan yang mereka berasakan perlu untuk meluahkan atau menjelaskan kepada ibu bapa," katanya.

Dalam gaya permisif pula, ibu bapa atau penjaga bersikap tidak begitu mengendahkan seperti membiarkan sahaja tanpa ada kawalan. Ibu bapa seperti ini, boleh dikatakan sebagai mengabaikan.

"Apabila keadaan ini berlaku, anak-anak akan berasakan mereka tidak diambil peduli oleh orang sepatutnya memberi perhatian dalam keadaan yang seimbang. Jadi, apabila mereka sudah mencapai sedikit kematangan, mereka berasakan tidak perlu mendapat pandangan ibu bapa atau penjaga mereka," katanya.

MENGARAH sahaja bukan gaya keibubapaan yang baik dalam pendidikan kanak-kanak.
MENGARAH sahaja bukan gaya keibubapaan yang baik dalam pendidikan kanak-kanak.

Dr Putri berkata, di bawah gaya keibubapaan ini ialah hubungan erat yang perlu dipupuk sejak anak berusia enam tahun ke bawah.

"Hubungan erat ini amat penting kerana mereka dapat berasakan ibu bapa atau penjaga begitu sayang, prihatin dan bersikap terbuka dalam berkomunikasi.

"Apabila kita bercakap mengenai mendengar kata-kata anak ini bukan bermaksud kita mengikut sahaja kata-kata mereka, tetapi memberi peluang kepada si kecil untuk meluahkan perasaan," katanya.

Jelasnya, ibu bapa atau penjaga perlu faham mengenai konsep mendengar atau mengarah kerana sikap mengarah itu lebih ke arah dominasi kepada kanak-kanak berbanding mendengar yang sebenarnya mengajak si kecil untuk berkomunikasi secara dua hala.

"Apabila berkomunikasi secara dua hala dengan baik, kedua-dua pihak iaitu anak dan ibu bapa atau penjaga dapat memahami dan menjelaskan sesuatu keadaan dengan harmoni serta jelas.

"Berbanding mengarah, ia bersifat sehala dan si anak tidak boleh mendapatkan penjelasan dan pendapat mereka sendiri mengenai sesuatu perkara yang diarahkan ibu bapa atau penjaga. Sedangkan hak bersuara itu perlu ada untuk si kecil," katanya.

Katanya lagi, dalam era masa kini, cara pendidikan awal kanak-anak perlu diubah dan dipertingkatkan oleh ibu bapa atau penjaga kerana lebih mencabar.

"Kita tidak boleh bandingkan keadaan kita dahulu yang membesar dengan hanya mengikut arahan ibu bapa atau penjaga dan kini sudah berjaya. Model itu tidak boleh dipakai lagi.

"Perkara ini kerana anak-anak masa kini terdapat lebih banyak cabaran seperti tiada ruang bebas untuk bermain yang menjadi medium untuk meluahkan perasaan, mudah mengakses dunia luar menerusi internet dan mudah mendapat sesuatu yang diinginkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 6:48 AM