ANAK remaja perlu diperhatikan.
ANAK remaja perlu diperhatikan.
Intan Mas Ayu Shahimi

Di mana anak kita? Sedang sibuk belajar di sekolah atau sewenang-wenangnya ponteng kelas? Ke majlis ilmu atau berpeleseran bersama rakan? Menyiapkan tugasan di depan komputer atau curi-curi melayari laman web pornografi?

Sekilas pandang, nampak jelas betapa ramai ibu bapa hari ini terlupa pentingnya melakukan pemeriksaan mengejut untuk melihat sendiri perilaku anak ketika dibiarkan tanpa pengawasan. Alasannya? Mereka sibuk bekerja, menguruskan anak kecil dan terikat dengan pelbagai komitmen penting.

Dalam keadaan ekonomi hari ini, kebanyakan ibu bapa lebih fokus kepada usaha mensejahterakan pendapatan seisi keluarga berbanding memikirkan kehendak, keperluan, kepentingan serta risiko dalam peralihan usia anak. Apakah anak sudah tidak penting?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tular di laman sosial mengenai isu pedofilia, pengguguran haram, pembuangan bayi, seks bawah umur, pengaruh LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), penagihan dadah dan alkohol dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Namun, berapa ramai di antara ibu bapa hari ini benar-benar peka terhadap ancaman masalah sosial yang terbentang luas di depan anak mereka?

Kata Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM, merangkap Pakar Sakit Puan Jabatan Obstetrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Harlina Halizah Siraj, amat menyedihkan apabila ada segelintir ibu bapa yang mendabik dada, berbangga kononnya anak mereka seorang yang baik, terpelihara daripada pornografi dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Sedangkan realiti menunjukkan sebaliknya.

Aplikasi telefon bimbit, permainan atas talian, penggunaan laman sosial, ejen carian di Internet, pengaruh rakan, komik, majalah, filem, waima drama televisyen, semuanya mendedahkan anak kepada unsur pornografi. Adegan berpelukan dan bercium di saluran televisyen mudah mengundang rasa ingin tahu anak.

“Sebab itu saya lebih suka merumuskan setiap anak sebenarnya sudah atau pernah melihat paparan berunsur pornografi. Tanggapan sebegini lebih baik berbanding mengatakan anak orang lain sudah (terdedah pada pornografi) dan anak sendiri tidak (kerana dianggap bersikap baik).

“Apabila ibu bapa bersikap defensif dan mudah melihat serta menilai kesilapan orang lain, ini mungkin mendatangkan lebih banyak masalah. Jadi, lebih senang kalau kita anggap saja anak pernah melihat sebarang unsur ke arah pornografi dan peka dengan perubahan usia mereka,” katanya.

Memperincikan salah laku seksual yang kerap berlaku dalam kalangan remaja kini, Dr Harlina berkata, golongan mentah itu terlalu mudah terjerumus dalam kancah pornografi, sexting (perbuatan bertukar mesej ghairah dan gambar bahagian tubuh), berjanji temu sehingga hamil luar nikah.

“Ibu bapa perlu tahu penangan pornografi ini sama seperti ketagihan alkohol dan dadah. Ia lazimnya bermula daripada rasa ingin tahu remaja itu sendiri dan diteroka mengikut sumber dan carian di depan mata.

“Kalau diperhatikan, apabila anak mencapai usia akil baligh, mereka biasanya mempunyai rasa ingin tahu terhadap apa yang berlaku kepada wanita dan lelaki di bilik tidur.

“Anak perempuan, biasanya berimaginasi dan berfantasi, tetapi, anak lelaki lebih terarah kepada keinginan untuk melihat sendiri. Sebab itu, sejak dulu lagi kita memang tahu budak lelaki suka mengintai, disebabkan rasa ingin tahu. Tetapi, kalau perlakuan ini tidak diberi perhatian dan diurus dengan bijak, ia akan membawa kepada pornografi.

“Kedua, sumber pornografi itu sendiri. Remaja zaman dulu mencari sumber tontonan menerusi pita video, novel dan cakera padat. Namun hari ini semuanya di hujung jari. Ada masanya anak kita tak sempat menekan skrin, tetapi paparan lucah timbul secara tiba-tiba menerusi iklan di aplikasi telefon bimbit. Semua ini adalah cabaran buat anak remaja zaman sekarang,” katanya ketika berucap di Seminar Keibubapaan Rahmah, Bicara Terbuka Anak Terpelihara anjuran Malaysians Against Pornography (MAP), Wanita Ikram Selangor dan Universiti Tenaga Nasional, baru-baru ini.

DR Harlina.
DR Harlina.

Ancaman besar

Selain pornografi, sexting juga dilihat sebagai ancaman besar anak remaja. Lebih mengejutkan apabila statistik menunjukkan hampir dua pertiga daripada kelompok yang terbabit dalam perlakuan ini adalah remaja perempuan.

“Sexting ini adalah perbuatan menghantar, menerima atau memajukan mesej seksual yang jelas seperti gambar atau imej menerusi peranti digital, komputer mahupun telefon bimbit. Ia mungkin bermula daripada sekadar meminta gambar untuk tatapan, bahagian tubuh seperti rambut (remaja bertudung) hinggalah kepada aksi dan perlakuan melampau.

“Daripada bacaan dan penelitian saya, sikap ibu bapa juga menyumbang kepada perlakuan ini. Kalau dilihat, segelintir masyarakat kita terlalu mengongkong anak perempuan. Mereka memaksa anak mengenakan tudung seawal usia satu atau dua tahun. Apabila sampai umur remaja, mereka memiliki telefon bimbit sendiri dan mula meneroka sisi dunia yang lain.

“Pernah saya jumpa, seorang remaja yang merakam setiap bahagian tubuhnya dan gambar itu dikongsi dengan pasangan. Perkara ini biasanya bermula dengan pujian daripada pasangan, kemudian timbul rasa seronok dan akhirnya hanyut,” katanya.

Kata Dr Harlina, pendekatan dan sikap peka ibu bapa sememangnya memainkan peranan besar dalam membimbing anak supaya tidak mudah tersasar dalam pengaruh pornografi, sexting atau apa saja medium yang boleh mengheret mereka ke arah keruntuhan adab, jati diri, akhlak, moral dan sosial.

Sekalipun ramai yang menyalahkan telefon bimbit, Internet dan pentas digital lain, hakikatnya yang perlu diperbetulkan adalah didikan, perhatian dan bimbingan setiap kali berdepan perubahan arus teknologi semasa.

Kadangkala ibu bapa juga terlalu memberi perhatian kepada apa yang mereka nampak secara kasar sehingga gagal memerhatikan unsur halus yang menyerap masuk ke dalam dunia anak remaja.

TONJOLKAN hubungan yang sihat.
TONJOLKAN hubungan yang sihat.

“Cuba ambil tahu muzik apa yang anak kita dengar. Sekarang ada banyak lagu yang menonjolkan lirik dan klip video mengghairahkan. Saya tidak pasti berapa ramai yang perasan dan tahu mengenai salah satu klip video seorang penyanyi antarabangsa.

“Penggunaan ayat liriknya, masya-Allah...kemungkinan anak kita ini menyanyi saja. Jadi, kita kena peka. Ambil tahu setiap bahagian lirik lagu yang mungkin boleh merosakkan akidah anak.

“Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah ‘dating’ siber. Jangan kita mudah menilai anak daripada perlakuan mereka saja. Zaman sekarang sudah tak ada lagi pertemuan di tepi tangga. Mereka bermula di alam siber, bertukar mesej, maklumat diri dan gambar peribadi.

“Selepas fasa ini, kemungkinan anak remaja lebih mudah terjebak dalam aktiviti seks awal usia, kehamilan, gangguan dan buli serta penderaan seksual,” katanya.

Statistik meresahkan

Dalam pada itu, Wanita Ikram Selangor merujuk kepada hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2017 (NHMS 2017) yang dilaksanakan Institut Kesihatan Umum (IKU) membabitkan 27,497 remaja berusia 13 hingga 17 tahun, daripada 212 sekolah terpilih di Malaysia. Ternyata angka yang dipaparkan tinjauan ini meningkatkan keresahan ibu bapa.

Secara keseluruhannya, tinjauan itu mendapati seramai 2,007 atau 7.3 peratus remaja pernah melakukan seks. Maklumat spesifik mendedahkan 9.3 peratus remaja terbabit berada di tingkatan satu atau kelas peralihan, diikuti 6.9 peratus remaja tingkatan dua, 6.1 peratus tingkatan tiga, 7.3 peratus tingkatan empat dan 6.9 peratus di tingkatan lima.

Ketua Wanita Ikram Selangor Prof Dr Hanim Salleh berkata, maklumat berdasarkan jantina menunjukkan 35 peratus remaja lelaki pernah melakukan seks sebelum umur 14 tahun, manakala remaja perempuan pula dicatatkan sebanyak 27 peratus.

“Lebih membimbangkan apabila 21 peratus remaja lelaki dan 11 perempuan melakukan seks lebih daripada satu pasangan. Jika keadaan ini tidak dibendung, ia akan membawa implikasi kesihatan yang besar seperti pembuangan bayi, pengguguran dan penularan penyakit berkaitan seks bebas seperti STD, sifilis dan gonorea.

“MAP mengambil inisiatif menjalankan kajian mengenai pendedahan terhadap pornografi dalam kalangan 77 remaja berusia 10 hingga 18 tahun pada 2014. Hasil kajian mendapati 62.7 peratus remaja secara tidak sengaja pernah melihat pornografi, manakala 24.7 peratus mengakui pernah dan sengaja melihat pornografi. Mereka mengakui sumber utama pendedahan adalah daripada televisyen dan filem (62.3 peratus), Internet (42.9 peratus) dan pop-up (28.6 peratus),” katanya.

Berbalik kepada Dr Harlina, beliau menyarankan ibu bapa supaya memperkenalkan pendidikan seksualiti kepada anak mengikut usia dan kematangan mereka.

“Pengenalan ini penting. Daripada kita terus menganggap perihal seks sebagai tabu dalam masyarakat, menyembunyikan fakta dan ‘lari’ setiap kali diajukan persoalan berkaitan, ada baiknya jika kita mencari kaedah terbaik untuk menjelaskan kepada mereka mengenai potensi diri setiap individu.

“Sebagai ibu bapa, kita sentiasa boleh meningkatkan kemahiran keibubapaan bagi membantu mencegah gejala seksual, mengawal pengaruh rakan sebaya, waima menyekat maklumat tidak sahih yang mungkin mengelirukan lagi anak.

“Beri perhatian kepada keperluan emosi anak remaja yang mahukan penghargaan dan pengukuhan. Jika sebelum ini golongan ibu dikatakan lebih rapat dengan anak, mungkin sudah tiba masanya bapa juga turut serta dalam mendidik mereka dari kecil.

“Kita percaya, didikan, kasih sayang dan perhatian bapa berupaya menghasilkan anak lelaki yang bertanggungjawab serta anak perempuan berkeyakinan tinggi. Kita juga perlu tunjukkan contoh terbaik dalam hubungan suami isteri, ibu dan bapa,” katanya.

Melengkapkan ucapannya Dr Harlina turut berkongsi beberapa fakta yang dipetik daripada Sexual Health for America’s Adolescents, SIECUS, New York, NY, 1995. Ia menyebut ciri ibu bapa kepada remaja yang sihat seksual untuk rujukan pada masa akan datang.

PESERTA yang menghadiri seminar.
PESERTA yang menghadiri seminar.

Ciri yang ibu bapa perlu ada

1. Menunjukkan nilai, hormat, penerimaan dan kepercayaan kepada anak remaja mereka.

2. Menonjolkan sikap yang sihat terhadap seksualiti dalam hubungan mereka.

3. Tidak mudah menghukum dalam aspek seksualiti.

4. Berpengetahuan luas mengenai seksualiti.

5. Boleh berbincang mengenai perihal seksualiti dengan anak-anak.

6. Memberikan maklumat berkenaan seksualiti kepada anak-anak.

7. Sentiasa mendapatkan bimbingan dan maklumat berkaitan.

8. Cuba memahami pandangan anak-anak.

9. Membantu anak memahami nilai dan pegangan hidup masing-masing.

10. Mengadakan peraturan dan batasan bagi aktiviti anak-anak di luar waktu persekolahan.

11. Sentiasa terbabit aktif dalam hidup anak mereka.

12. Bertanya khabar mengenai rakan anak mereka.

13. Menyediakan persekitaran selamat yang menyokong perkembangan anak.

14. Membantu anak remajanya mendapatkan perkhidmatan kesihatan sekiranya perlu.

15. Membimbing anak merancang masa depan.

Etika seksual menurut Islam

1. Konsep kesopanan lelaki dan wanita.

2. Perlindungan kehormatan ahli keluarga wanita yang perlu dipertahankan oleh lelaki.

3. Kesetiaan dan kesucian perhubungan suami isteri.

4. Saranan untuk menutup aurat bagi lelaki dan wanita di tempat umum.

5. Pengharaman perzinaan serta amaran terhadap perkara yang boleh mendedahkan seseorang kepada zina.

6. Larangan sumbang mahram, dan perkahwinan antara saudara kandung.

7. Mengelakkan hubungan seksual dengan wanita yang sedang haid atau nifas.

8. Menghalang budaya lucah dan pornografi

9. Menganggap kesucian diri dengan tidak berkahwin sebagai sesuatu yang bertentangan dengan fitrah insaniah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 2:56 PM