ANTARA koleksi bagasi yang ditawarkan.
ANTARA koleksi bagasi yang ditawarkan.
Hajahfarhana Tarmudi


Menyedari minat rakyat Malaysia yang gemar melancong dan ingin kelihatan hebat ketika menghabiskan saat bercuti itu, Guardian Malaysia bekerjasama dengan pereka terkenal, Anna Sui untuk menampilkan koleksi rekaan eksklusif untuk pelanggannya.

Koleksi bagasi jenama berkenaan yang terdiri daripada dua beg troli, satu beg tote dan beg pereka itu boleh ditebus pada harga diskaun yang istimewa.

Menurut Pengarah Pemasaran Guardian Health and Beauty Sdn Bhd Christina Low, promosi di bawah program kesetiaan terbaru itu berlangsung sejak 28 September lalu.

“Penebusan untuk satu barang pada harga diskaun boleh dilakukan apabila pelanggan berjaya mengumpul 10 keping setem. Untuk pembelian RM20, pelanggan akan menerima sekeping setem.

“Sekeping setem tambahan akan diberikan jika pembelian mengandungi salah satu daripada 33 jenama yang mengambil bahagian. Penebusan akan bermula pada 28 Oktober dan berakhir pada 31 Disember,” katanya.

Jelasnya, pemilihan untuk menjalin usaha bersama pereka berkenaan adalah disebabkan dia memiliki pengaruh kuat dalam kedua-dua aspek kecantikan dan fesyen yang sangat relevan dengan perniagaan kesihatan serta kecantikan.

Pada masa sama, ia juga bertujuan membawakan jenama beraspirasi pada harga yang berpatutan ke pasaran umum. Koleksi bagasi itu diilhamkan oleh minyak wangi, rama-rama dan bunga ros serta warna terang daripada seni pop seperti fuschia dan oren.

Namun, setiap rekaan diilhamkan oleh pelbagai peristiwa yang pernah berlaku di sepanjang perjalanan karier pereka jenama berkenaan. Misalnya, beg troli yang coraknya dicetuskan melalui sehelai tuala teh moden abad pertengahan bertemakan kuartet kedai gunting rambut.

Pada asalnya, koleksi berkenaan ditampilkan untuk musim luruh 2012 dan ia diilhamkan oleh karya pereka Charles dan Ray Eames serta kolek­si Folk Art Americana mereka.

Kemudian, ia disesuaikan dengan slogan Anna Sui, botol minyak wangi dan tiub gincu. Beg tote pula disiapkan dengan rekaan berbirai ros berjalur.

Asalnya, ia berwarna hitam putih dengan rona bunga merah untuk sehelai gaun dalam koleksi musim bunga 2007 dan hingga kini, ia masih menjadi corak jenama berkenaan yang paling ikonik.

Bukan itu saja, Guardian turut menawarkan dua wangian EDT edisi terhad Anna Sui iaitu Dreams Yellow dan La Vie De Boheme yang didatang­kan dalam saiz 30 mililiter bermula November ini di 150 cawangan terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 1:13 AM