SENI kontemporari menjadi taruhan Campana Barroca.
SENI kontemporari menjadi taruhan Campana Barroca.
Hajahfarhana Tarmudi


Banyak nama besar dalam rekaan fesyen, seni bina dan seni dipilih untuk bekerjasama dengan jenama kasut Melissa bagi mencipta koleksi yang menarik.

Vivienne Westwood, Jason Wu dan Alexandre Herchcovitch antara nama yang menyumbang kepada tenaga dan kesungguhan dalam mencipta kebanyakan koleksi kasut yang menjadi rebutan.

Bagi meraikan kehadiran musim bunga dan panas 2016, tema ‘Wanna Be Carioca’ dipilih dengan pelbagai pilihan palet warna ditampilkan bermula daripada merah jambu neon, biru, kuning, hijau merah hinggalah rona klasik putih, hitam serta coklat.

Rekaan ceria dan klasik

Pereka fesyen kelahiran London ini menggabungkan keharmonian konsep romantisisme dengan gaya ala punk, ciptaan asal jenama berkenaan dan sentuhan fesyen atasan untuk menghasilkan rekaan kasut yang unik.

Bermain dengan motif dan corak bunga serta hati pada sesetengah rekaan dan tidak ketinggalan konsep bak ikatan dawai serta sentuhan daun ara.

Untuk musim ini, koleksi gabungan idea Vivienne Westwood Anglomania dan kasut bertapak rata Melissa Ultragirl XV mempunyai dua aplikasi berbeza pada permukaannya.

Ia direka dengan motif bunga daisi dan ada juga campuran bunga serta logo orbit geometri. Bagi wanita yang gemarkan gaya ala punk, koleksi Vivienne Westwood Anglomania + Melissa Scribble Tartan juga menarik perhatian.

Sentuhan cetakan klasik, namun masih mengetengahkan rekaan kasut bertapak rata yang moden dan kemas memberikan gaya yang segar buat fesyenista.

Tonjol gaya feminin

Sofistikated dan romantisisme dapat dilihat dengan jelas pada rekaan Jason Wu. Koleksi kasut bertapak rata Space Love itu memberikan keselesaan kepada kaki.

Bukan saja selesa malah rekaan yang menonjolkan gaya feminin dan elegan kerana menggunakan cetakan renda terkini serta tambahan reben di bahagian depan kasut.

Gaya romantik

Kesetiaan dalam memberikan kerjasama jelas ditunjukkan oleh Alexandre Herchcovitch kepada jenama berkenaan. Pada masa sama, banyak kejayaan diberikan oleh pereka berkenaan terhadap koleksi kasut yang ditampilkannya.

Sekali lagi pada musim ini, Alexandre memperkenalkan dua model kasut dalam himpunan Flower dengan tambahan lebih unik bersama corak bunga 3D.

Koleksi Flower Queen flat menggunakan motif bunga pada bahagian depan kasut untuk menambah gaya romantik pada si pemakai.

Seni kontemporari

Kebijaksanaan Campana Barroca menggabungkan seni gaya Baroque Roman dengan gaya hidup di Brazil berjaya menghasilkan kasut bertapak rata serta sandal dalam koleksi Campana Barroca.

Setiap kasut dicipta dengan elemen intergrasi sekali gus berjaya menampilkan rekaan yang menonjolkan simbol seni kontemporari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 6:23 AM