KANAK-kanak turut mendapatkan rawatan resdung.
KANAK-kanak turut mendapatkan rawatan resdung.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Hidung dan tekak berlendir, gatal pada mata, kepala, telinga dan hidung, rambut berkelemumur atau gugur, mulut berbau, hidung tersumbat dan kerap bersin antara gejala yang kerap dihadapi penghidap sinusitis atau sering kali disebut resdung.

Individu mengalami resdung selalunya berasa rimas dengan keadaan hidung gatal dan mata berair yang menimbulkan keadaan tidak selesa. Salah satu langkah mengurangkan ketidakselesaan akibat penyakit itu dengan menjalani rawatan tradisional.

Pengewapan muka menggunakan corong lilin adalah antara medium paling asas selain campuran beberapa bahan herba lain.

Wap panas diratakan ke seluruh wajah juga melancarkan perjalanan darah dan membuka liang roma tersumbat yang menyebabkan masalah kulit.

Kaedah itu juga bagi menanggalkan daki dan menghapuskan kuman yang menjadi penyebab utama masalah kulit dan wajah kusam.

Selepas menjalani rawatan, wajah berasa lebih ‘ringan’, bersih dan kurang gatal malah punca jerawat di muka turut berkurangan.

Oleh itu, kaedah ringkas dan tidak menyakitkan ini sering dipilih sebagai rawatan alternatif bagi penghidap resdung, malah boleh dikatakan ia petua awet muda buat mereka yang mementingkan kecantikan wajah.

Pengasas Spa Resdung Jieha, Asmahan Humaidi berkata, selepas proses mengeluarkan kekotoran, wajah pesakit dibersihkan menggunakan sabun khas yang dihasilkan syarikatnya sendiri, GHa Beauty Care.

Katanya, meskipun terapi resdung dapat mengurangkan gejala dihadapi, menjaga pemakanan di rumah juga penting selain pesakit digalakkan mengikuti proses penjagaan kulit wajah yang teratur dan berpantang daripada mengambil beberapa jenis makanan yang boleh menimbulkan alahan seperti makanan laut.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam terapi sinus tradisi Melayu, Asmahan berkata, selain terapi wap, spa itu turut menyediakan rawatan wajah resdung untuk pelanggan pada harga berpatutan.

“Kelainan perkhidmatan yang kami sediakan iaitu teknik bekam asap dari corong lilin madu lebah dan teknik urutan pada saraf atau rongga sinus dapat membantu melancarkan peredaran darah selain melembutkan masalah ketegangan urat atau saraf pada muka.

“Bagi rawatan wajah resdung pula, corong lilin digunakan dengan meratakan asap pada keseluruhan wajah sebelum dicuci bersih dan dibilas dengan pencuci sinus.

“Kemudian, wap panas digunakan untuk membuka liang roma pada wajah. Ini disusuli dengan kaedah vakum untuk membuang darah kotor pada jerawat yang membengkak. Selepas itu, laser digunakan untuk mematikan akar jerawat dan menghalang bakteria.

“Akhir sekali, wap sejuk digunakan untuk mengecilkan pori dan mengecutkan bengkak muka. Langkah terakhir, wajah disapu dengan pupur untuk menyegarkannya,” katanya.

Spa itu turut menyediakan perkhidmatan lain seperti urutan tradisional, sauna, mandi bunga, lulur, rawatan intensif kulit normal dan berjerawat serta pakej pengantin merangkumi sauna, lulur, rawatan muka dan mandi bunga aura seri.

SPA 3 GENERASI

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia spa tiga generasi kerana ibunya, Mahani Husin, 62, dan anak sulungnya, Syahmin Nasuha Sapeli, 18, turut membantu menguruskan spa berkenaan.

Mengulas lanjut, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, perkhidmatan spa bermula secara kecil-kecilan di rumahnya di Taman Maran Impian, Maran, Pahang pada 2005.

Dua tahun selepas itu Asmahan nekad pulang ke kampung halamannya di Pulai Chondong, Kelantan dan menjalankan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan spa dan rawatan resdung.

“Pulai Chondong menjadi lokasi pilihan penubuhan spa kedua kerana saya tidak mahu anak terabai disebabkan kesibukan berniaga di samping niat membangunkan pekan kecil tempat asal usul saya itu.

“Tanggungjawab sebagai anak tunggal dan status isteri tidak menghalang saya mengharungi cabaran dunia perniagaan bahkan lebih bersemangat membantu ibu.

“Niat asal saya ialah mencari pendapatan sampingan untuk menghantar ibu menunaikan haji. Namun dorongan rakan dan keluarga supaya saya memanfaatkan pengalaman dalam dunia kecantikan mencetuskan idea untuk menubuhkan syarikat sendiri dan menghasilkan rangkaian produk penjagaan kecantikan di bawah jenama GHa Beauty Care,” katanya.

Apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesyorkan kilang mempunyai GMP dan kelulusan KKM, dia tidak bertangguh lagi untuk merealisasikan impian menghasilkan produk kecantikan sendiri. Kajian dan pembangunan dilakukan bagi mendapatkan kualiti terbaik sebelum memasuki pasaran.

Asmahan kemudiannya mengikuti kursus kecantikan secara sambilan di Kuala Lumpur dan beberapa kursus berkaitan perniagaan dan pemasaran bagi mengukuhkan jenamanya.

“Bunyi macam senang, tetapi ia tidak semudah yang disangka. Pada peringkat awal penemuan produk, kajian demi kajian dilakukan bagi mendapatkan hasil terbaik dan memuaskan hati sebelum saya mengambil keputusan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Di bawah syarikatnya, Asmahan yang juga usahawan bimbingan agensi itu, kini boleh berbangga apabila pusat kecantikan yang beroperasi sejak 10 tahun lalu semakin kukuh dan tahun ini spa ketiganya dibuka di Lake Fields, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Selain perkhidmatan kecantikan dan spa, syarikatnya turut mengeluarkan beberapa produk kesihatan antaranya minuman kesihatan berasakan sarang burung walet dengan campuran madu dan air zamzam GHa Collacalya dan kopi pracampuran GHa ‘Arwa CafÈ.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 11:08 AM