UBAT rawatan rinitis alergi dan sinusitis bergantung kepada tempoh, punca dan gejala penyakit. FOTO arkib NSTP
UBAT rawatan rinitis alergi dan sinusitis bergantung kepada tempoh, punca dan gejala penyakit. FOTO arkib NSTP
Disediakan oleh Dzyan Azlina Azman

Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Gunong, Kelantan

“GATAL sungguh hidung saya. Asyik rasa ketat dan hendak bersin saja.” Adakah anda pernah mengalami keadaan ini? Sebenarnya, ramai pernah mengalami gejala yang sama. Dalam sesetengah kes, seseorang itu berasa seperti ada sesuatu di dalam rongga hidung yang menyebabkan rasa tidak selesa. Ada juga yang berasa sakit pada muka hingga berdenyut-denyut.

Secara umum, keadaan ini sering dipanggil resdung dalam masyarakat kita. Namun, dalam bidang perubatan, gejala ini boleh terbahagi kepada dua keadaan iaitu rinitis alergi dan sinusitis.

Perbezaan antara rinitis alergi dan sinusitis

Rinitis alergi adalah keadaan keradangan atau bengkak yang disebabkan alahan pada bahagian hidung akibat terdedah kepada alergen atau punca alahan.

Ada sesetengah individu yang alah kepada debu persekitaran, manakala yang lain pula alah kepada bulu binatang.

Ada juga orang yang mengalami alahan teruk disebabkan tindak balas badan secara berlebihan terhadap punca alahan ataupun alergen. Keadaan ini digelar hipersensitiviti dan ia mencetuskan gejala yang berterusan termasuk sentiasa bersin, hidung berair dan tersumbat serta gatal pada bahagian hidung dan mata.

Berbeza dengan rinitis alergi, sinusitis pula adalah keradangan pada bahagian sinus (rongga dalam tulang tengkorak yang bersambung dengan rongga hidung). Gejala yang dialami oleh pesakit mungkin lebih serius seperti sakit muka pada bahagian sinus, hingus pekat yang berwarna dan berbau, hidung tersumbat, kurang deria bau dan sakit kepala.

Punca yang menyebabkan sinusitis juga berbeza. Kebiasaannya, sinusitis disebabkan jangkitan mikro organisma yang menyebabkan keradangan pada bahagian sinus.

Sinusitis boleh jadi serangan akut (serangan jangka pendek) ataupun kronik (serangan jangka panjang).

Rawatan

Ubat yang digunakan dalam rawatan rinitis alergi dan sinusitis bergantung kepada tempoh, punca dan gejala penyakit. Jika ia disebabkan oleh alergen, cara terbaik adalah mengelakkan punca alahan yang diketahui seperti habuk, bulu haiwan atau cuaca sejuk.

Jika pesakit mengalami gejala seperti bersin dan gatal-gatal hidung, doktor mungkin memberikan ubat daripada kumpulan antihistamin untuk mengurangkan gejala itu. Ada juga ubat semburan hidung yang boleh digunakan untuk melegakan masalah hidung tersumbat. Pesakit juga mungkin diberi ubat-ubatan lain yang sesuai bergantung kepada keseriusan dan keadaan pesakit selepas pemeriksaan doktor.

Mitos berkaitan resdung

Amat popular dalam kalangan masyarakat resdung disebabkan oleh ulat yang hidup di dalam rongga hidung atau muka manusia. Ada juga kepercayaan bahawa rawatan asap dan produk tertentu mampu mengeluarkan ulat terbabit.

Kepercayaan ini memberi ruang kepada penjual produk yang ghairah mengaut keuntungan untuk melariskan produk mereka termasuk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Didapati adalambakan produk di luar sana yang dikatakan mampu merawat resdung. Pesakit yang terdesak pasti akan terdetik untuk mencuba rawatan yang menjanjikan kesembuhan ini.

Cawangan Penguat­kuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia merampas sejumlah produk yang dikatakan dapat merawat resdung. Apabila diuji kandungan produk terbabit didapati mengandungi bahan terlarang seperti steroid. Penggunaan steroid tanpa pemantauan ahli profesional kesihatan boleh memberi kesan sampingan yang memudaratkan kepada kesihatan pengguna terutama apabila ia digunakan secara berterusan dalam jangka masa panjang.

Masyarakat dinasihati menyemak status pendaftaran sesuatu produk sebelum membeli dengan melayari laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melalui pautan http://npra.moh.gov.my. Produk yang tidak berdaftar tidak dapat dijamin kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

Kesimpulan

Pesakit yang mengalami gejala rinitis alergi atau sinusitis dinasihat merujuk kepada pengamal perubatan atau pakar dalam bidang telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Usah percaya kepada iklan yang menjanjikan kesembuhan atau meragukan dalam media sosial. Dapatkan ubat daripada premis yang sah seperti farmasi komuniti.

Untuk sebarang persoalan berkaitan ubat, sila hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:30 AM