TAYLOR Swift. FOTO fail AFP
TAYLOR Swift. FOTO fail AFP
AFP

London: Ribuan peminat penyanyi Taylor Swift menjadi mangsa penipuan penjualan tiket konsert menjelang siri jelajahnya di United Kingdom (UK), akhir tahun ini.

Lloyds Bank berkata, sekurang-kurangnya 3,000 mangsa berkemungkinan sudah ditipu untuk membeli tiket palsu sejak Julai, dengan lebih AS$1.24 juta (kira-kira RM5.94 juta) lesap ke tangan penipu, setakat ini.

Jumlah purata kerugian setiap mangsa ialah AS$325.95 (kira-kira RM1,562), walaupun dalam beberapa kes, ia melebihi AS$1,063 (kira-kira RM5,094).

Bank itu berkata, lebih 90 peratus kes yang dilaporkan bermula dengan iklan atau siaran palsu di Facebook.

Penipuan tiket konsert meningkat sebanyak 158 peratus sejak musim panas lalu berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya, tambah bank itu.

Penyanyi Amerika Syarikat (AS), Beyonce; kumpulan British, Coldplay dan pemuzik, Harry Styles, antara artis yang paling biasa digunakan dalam penyasaran sindiket penipuan tiket palsu, katanya.

Dalam semua penipuan tiket konsert, mangsa secara purata kehilangan AS$141 (kira-kira RM675).

Pencarian di Facebook mendedahkan berpuluh-puluh kumpulan tidak rasmi ditubuhkan, kebanyakannya mempunyai puluhan ribu ahli, khusus untuk orang yang ingin membeli dan menjual tiket untuk konsert Swift, kata Lloyds lagi.

Facebook Marketplace, platform dagangan syarikat media sosial itu, mempunyai pelbagai penyenaraian untuk tiket di pelbagai lokasi di seluruh negara, kata bank itu.

Penipuan biasanya membabitkan iklan palsu, siaran atau penyenaraian di media sosial, menawarkan tiket pada harga diskaun, atau akses kepada acara yang sudah habis dijual pada harga melambung tinggi.

Mangsa diminta membayar pendahuluan untuk tiket, tetapi sebaik pembayaran dibuat, pihak terbabit 'hilang'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 10:51 AM