GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Beijing: Seorang wanita warga China ditahan kerana didakwa berpura-pura menjadi lelaki di laman sosial dan menjadi dalang sindiket 'love scam' dengan memperdaya rakan baik sendiri supaya jatuh cinta serta memindahkan wang kepadanya.

Oddity Central melaporkan, mangsa dikenali Li, seorang wanita pertengahan umur ditipu selama 12 tahun oleh seorang individu yang menyamar sebagai pembaca berita televisyen terkenal di media sosial dan kerugian 2 juta yuan (kira-kira RM1.3 juta) dalam tempoh itu.

Lebih teruk lagi apabila suspek dikenali Yu adalah rakan baik Li yang melakukannya bagi membalas dendam kerana pernah dihina ibu sahabatnya itu ketika mereka masih kecil.

Bertahun selepas itu, Yu mencipta akaun laman sosial palsu penyampai berita dan mendekati Li berpura-pura menjadi lelaki yang menawan dan berjaya.

Setiap kali Li meminta untuk berjumpa dengan 'teman lelaki' dalam taliannya secara peribadi, Yu akan mencari alasan.

Antara alasannya adalah terlalu sibuk dengan kerja, sakit, atau terlalu penat untuk bertemu dengannya.

Bagaimanapun, Yu terus memikat dan menyatakan cintanya yang nampaknya cukup untuk membuatkan Li tertarik.

Penipuan itu pada asalnya bukan sebahagian daripada rancangan Yu, tetapi dilakukan kerana sangat memerlukan wang pada waktu sukar menjelang 2018.

Mengetahui bahawa rakannya tidak tahu identiti sebenarnya, dia mula meminta bantuan kewangan daripadanya, mencipta pelbagai alasan dan taktik untuk memperdaya Li berhasil.

Jika tidak dapat apa diinginkan, Yu mengugut memutuskan hubungan terutama apabila rakannya itu bertanya terlalu banyak soalan atau kelihatan berat memberi wang.

Awal tahun ini, selepas Li menghabiskan semua simpanannya dan mula mengumpul hutang, keadaan menjadi lebih rumit untuk Yu.

Li mahu berdepan dengannya dan nekad meminta semua wang dikembalikan walaupun Yu berusaha sedaya upaya untuk menghalangnya

Menyedari bahawa penipuannya akan terbongkar, Yu memberitahu rakannya segala-galanya, bagaimana dia berbohong dengan menyamar sebagai pembaca berita, mencipta profil palsu dan penipuan selama beberapa tahun.

Yu akhirnya ditangkap selepas rakannya membuat aduan, dan kes itu masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 2:48 PM