ARACHNOPHILE Aaron Phoenix  bersama tarantula peliharaannya.FOTO Agensi
ARACHNOPHILE Aaron Phoenix bersama tarantula peliharaannya.FOTO Agensi
Agensi

London: Uniknya hobi seorang lelaki dari Yate, England, United Kingdom (UK) kerana memelihara lebih 700 tarantula sekali gus menjadikannya 'Spider Man' di alam realiti.

New York Post melaporkan, Arachnophile Aaron Phoenix dikatakan sedang membangunkan laman web, dengan rancangan untuk membuka kedai labah-labah.

"Orang selalu bertanya sama ada saya bergurau apabila memberitahu jumlah labah-labah yang dimiliki, malah mereka turut bertanya jika ada sesuatu yang salah dengan saya.

"Tetapi setiap orang mempunyai hobi dan apa yang mereka suka lakukan.

"Sesetengah orang suka pergi ke gimnasium dan saya suka mengumpul tarantula," kata Phoenix, kepada SWNS.

Phoenix mula mengumpul haiwan itu pada musim panas 2021 selepas disahkan menghidap gangguan bipolar.

Dia tinggal bersama pasangannya, Jo, 47, dan dua anak perempuannya, sebuah bilik di rumah mereka ditetapkan sebagai 'gua tarantula'.

Phoenix mula memelihara dan mengumpul tarantula apabila doktor memberitahu hobinya boleh membantu kesihatan mentalnya.

"Secara keseluruhannya, saya sudah menyelamatkan 120 atau lebih labah-labah tahun lalu, itu hidup saya sebenarnya. Ia adalah segala-galanya bagi saya," katanya.

Phoenix dikatakan membelanjakan kira-kira AS$ 125 (kira-kira RM581) sebulan untuk substrat, kulit gabus, sampah daun dan lumut sphagnum untuk labah-labah.

Dia membiak belalang dan ulat makanan untuk memberi makan kepada haiwan peliharaannya, mendakwa ia menjimatkan kira-kira AS$ 250 (kira-kira RM1,163) sebulan untuk kos makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 10:42 AM