NATASHA Beresford cantik tanpa mekap. FOTO Miss England.
NATASHA Beresford cantik tanpa mekap. FOTO Miss England.
Agensi

London: Tanpa maskara mahupun secalit bedak, jururawat pergigian di England ini dinobat ratu cantik tanpa mekap.

Natasha Beresford, 26, dianugerah Miss London 2023, iaitu sebahagian daripada pencarian Miss England yang 'pertama kali tanpa solekan'.

Gadis cantik itu yang mengenakan gaun renda putih jenama Shikoba Bride berjaya menewaskan 18 wanita lain untuk gelaran idaman, minggu lalu.

Kemenangan terbabit melayakkannya mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Miss England, hujung tahun ini.

Menurut laman web pertandingan, juri memilih ratu dengan memfokus kepada pekerjaan dan tahap akademik peserta, di samping kecantikan semula jadi dan nilai etika.

Dilaporkan, Beresford berasal dari Sheffield dan berpindah ke London dua tahun lalu untuk bekerja di Hospital Pergigian Diraja London, di bahagian yang mengkhusus penjagaan gigi kanak-kanak.

Tahun lalu, dia ke Uganda sebagai sukarelawan dengan Dentaid, sebuah badan amal yang menyediakan penjagaan pergigian untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal, mangsa penderaan, pelarian dan golongan memerlukan.

Dia sempat memberi perkhidmatan penjagaan gigi kepada lebih 1,300 pesakit dan kini Beresford bekerja di sebuah pusat pergigian swasta dan menyimpan aspirasi untuk mengikuti pendidikan x-ray pergigian dan kesihatan mulut sebagai nilai tambah kepada kerja sukarelanya.

Naib juara pertandingan itu dimenangi pelajar kejuruteraan, Afrose Ameen, 23, dan tempat ketiga milik pembantu akaun serta model, Temi Adeyemi, 26.

Pelajar terapi kecantikan, Atlanta Richards, 17, pula diiktiraf 'Beauty with a Purpose' selepas berjaya mengumpul lebih $2,000 (RM9,455) untuk badan amal pencegahan bunuh diri.

Pada 2022, Melisa Raouf ditabal Miss England, yang juga peserta pertama tanpa mekap dalam sejarah 94 tahun pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 3:23 PM