MELISA Raouf. FOTO Instagram
MELISA Raouf. FOTO Instagram
Agensi

London: Menjadi kebiasaan peserta pertandingan ratu cantik pasti akan mengenakan solekan untuk menambah seri wajah.

Namun berlaku pula pada seorang finalis Ratu Cantik England yang membuat keputusan untuk tidak mengenakan sebarang solekan.

Ia pertama kali dalam sejarah dekad sepanjang penganjuran pertandingan itu.

Melisa Raouf, 20, yang juga seorang penuntut kolej di selatan London membuat keputusan itu ketika terpilih bersaing di peringkat separuh akhir pertandingan itu.

Keputusan itu ternyata tidak sia-sia apabila dia bakal bersaing dalam peringkat akhir untuk merebut mahkota pertandingan itu, pada Oktober ini.

"Ini sesuatu yang memberi makna mendalam kepada saya kerana mereka yang seusia berasa perlu berbuat demikian kerana terpaksa.

"Jika seseorang yakin dengan wajahnya, mereka tidak perlu mengenakan sebarang solekan," katanya seperti dilapor CNN.

Katanya, kecantikan seseorang itu adalah unik dan berbeza bagi setiap individu.

Raouf berkata, dia mula bersolek sejak usia muda dan kemudiannya membuat keputusan untuk berwajah asli tanpa solekan dalam pertandingan ini.

"Saya tidak pernah berasa kecantikan yang dimiliki mencapai standard yang ditetapkan menyebabkan saya menerima keadaan ini seadanya.

"Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk bertanding tanpa mengenakan sebarang solekan," katanya.

Pengarah Miss England, Angie Beasley berkata, pihaknya memperkenalkan pusingan Model Tanpa Solekan pada 2019.

Ini kerana kebanyakan peserta dikesan mengenakan solekan melampau pada wajah mereka walaupun penganjur mahu melihat keaslian sebenar wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 11:57 AM