LAPANGAN terbang London mengehadkan penerbangan kerana kekurangan pengawal udara. FOTO Reuters.
LAPANGAN terbang London mengehadkan penerbangan kerana kekurangan pengawal udara. FOTO Reuters.
AFP

London: Lapangan terbang Gatwick London terpaksa membatalkan lebih 160 penerbangan antara semalam hingga Ahad, berikutan kekurangan pengawal udara yang sebahagiannya dijangkiti Covid-19.

Dalam kenyataan dikeluarkan, lapangan terbang itu berkata, penerbangan akan dihadkan kepada 800 sehari - berlepas dan ketibaan, sehingga 1 Oktober.

Keputusan itu diambil dalam persetujuan dengan NATS iaitu perkhidmatan kawalan trafik udara Britain.

"Had siling harian ini akan menghalang pembatalan dan kelewatan saat akhir bagi penumpang, sementara NATS menangani isu yang disebabkan penyakit dan kekangan staf," menurut kenyataan itu.

Kira-kira 30 peratus pengawal udara pada masa ini tidak boleh bekerja atas pelbagai masalah kesihatan termasuk Covid-19.

Pengarah Stewart Wingate berkata, keputusan dibuat itu amat sukar, namun ia juga bermakna syarikat penerbangan masih boleh meneruskan program yang memberi penumpang keyakinan bahawa mereka tidak akan menghadapi pembatalan saat akhir.

Krisis itu menyusul selepas Ogos lalu yang menyaksikan pembatalan hampir 2,000 penerbangan selama dua hari dan banyak kelewatan penerbangan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UK (CAA) mengumumkan penyiasatan bebas terhadap isu yang lebih luas merangkumi kegagalan sistem.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 9:09 AM