ANTARA penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick. -Foto EPA
ANTARA penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick. -Foto EPA
AFP

LONDON: Dua individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan insiden dron di Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick diberkas, iaitu tiga hari selepas kejadian itu yang mengakibatkan puluhan ribu penumpang terkandas.

“Polis Sussex sudah menahan dua individu pada jam 10 malam (waktu tempatan) pada 21 Disember dan ia adalah sebahagian daripada siasatan berterusan berhubung penggunaan dron bagi tujuan jenayah, yang menjejaskan jadual penerbangan di lapangan terbang Gatwick,” kata ketua polis Sussex, Superintendan James Collis.

Kehadiran dron di lapangan terbang kedua paling sibuk di Britain itu berjaya dirakamkan pada Rabu lalu, sekali gus mencetuskan kekecohan dalam kalangan lebih 120,000 penumpang menjelang cuti Krismas.

Sementara itu, polis Sussex dalam kenyataan di laman webnya, berkata siasatan berhubungan kejadian itu masih diteruskan dan pegawai terbabit menggunakan pelbagai taktik bagi mengesan dan menghalang ‘serangan’ dron.

“Kami menggesa orang ramai, penumpang dan masyarakat di sekitar Gatwick supaya sentiasa berhati-hati dan menghubungi kami dengan segera, jika anda mempunyai maklumat yang dapat membantu kami membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Pada masa sama, segala siasatan akan diteruskan sehingga kami berjaya mengatasi semua ancaman yang mampu menjejaskan keselamatan penumpang,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 2:03 PM