POTRET Mona Lisa di Louvre, Paris. FOTO Reuters
POTRET Mona Lisa di Louvre, Paris. FOTO Reuters
Agensi

Rom: Ahli sejarah Silvano Vinceti mendakwa jambatan yang menjadi latar kepada lakaran potret Mona Lisa adalah Jambatan Romito di Laterina berdekatan bandar Tuscany, Italy, lapor CNN.

Ia sekali gus mencetuskan polemik baharu selepas perdebatan selama berabad-abad mendakwa lokasi latar jambatan pada potret itu ketika dihasilkan Leonardo Da Vinci adalah kampung Ponte Buriano, di pinggir bandar Arezzo di wilayah itu.

"Bentuk tersendiri (Sungai) Arno di sepanjang wilayah itu sepadan dengan apa yang digambarkan Leonardo dalam landskap di sebelah kiri wanita yang digambarkan dalam lukisan terkenal itu," kata Vinceti pada sidang media di Persatuan Akhbar Asing di Rom pada Rabu.

Vinceti juga membuat pembinaan semula jambatan secara maya untuk menunjukkan persamaan dan menggunakan dokumen daripada arkib negeri di Florence.

'Mona Lisa' dipotretkan pada awal abad ke-16. Menurut Vinceti, di antara 1501 dan 1503, Da Vinci tinggal bersama Kardinal Cesare Borgia berhampiran Laterina, lokasi jambatan yang menjadi tempat menghasilkan potret itu.

Jambatan itu digunakan dan mempunyai empat gerbang seperti yang digambarkan dalam karya seni yang lain.

Sebaliknya, jambatan di Ponte Buriano yang sebelum ini didakwa latar lukisan itu dihasilkan mempunyai enam gerbang, kata Vinceti, manakala dakwaan lain mengenai jambatan Ponte Bobbio di Piacenza mempunyai lebih daripada enam gerbang.

Jambatan Romito ketika itu menghubungkan Arezzo, Fiesole dan Florence tetapi kini runtuh.

Vinceti berkata, beliau mengkaji imej dron pada tebing sungai, runtuhan dan gambar selama bertahun-tahun untuk menentukan imej sebenar jambatan Romito Etruscan-Roman yang pastinya latar belakang lukisan itu.

Datuk Bandar Laterina Simona Neri yang turut hadir pada sidang media Vinceti itu teruja dan melihat ia sebagai prospek untuk membawa pelancong ke bandar yang mempunyai 3,500 penduduk berkenaan.

"Kami sangat berharap berita indah ini akan menarik minat dan menarik pelancong tempatan dan asing.

"Kami perlu cuba melindungi apa yang tertinggal dari jambatan itu, yang memerlukan pembiayaan," kata Neri.

Karya agung abad ke-16 Da Vinci kini ditempatkan di Louvre di Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 1:10 PM