Agensi

Vienna: Lukisan karya pelukis modernist Austria, Gustav Klimt, ditemukan semula selepas hilang hampir satu abad.

Portal Business Insider melaporkan, rumah lelongan im Kinsky di Vienna berkata, penemuan semula potret Fraulein Lieser itu selepas ia disembunyikan secara rahsia dalam pemilikan persendirian selama hampir 100 tahun.

Individu dalam potret itu adalah ahli keluarga Lieser. Dia melawat studio Klimt di sini pada 1917, setahun sebelum Klimt meninggal dunia akibat strok, menurut Observer.

Selepas kematiannya, potret itu diberikan kepada keluarga Lieser, dan saluran berita melaporkan ia kali terakhir dilihat dalam gambar yang diambil berkaitan dengan pameran Klimt pada 1925.

Selepas dipamerkan di peringkat global, potret itu akan dilelong di Vienna pada April, dengan anggaran nilai sehingga 50 juta euro (kira-kira RM256.3 juta), kata rumah lelongan itu.

Menurut pelelong, ia dijual bagi pihak pemilik persendirian.

Meskipun begitu, Observer melaporkan bahawa tiada bukti bahawa karya itu dirompak, dicuri, atau sebaliknya ia dirampas secara tidak sah semasa peristiwa Holocaust.

Lukisan Klimt sebelum ini dijual dengan jumlah yang besar di lelongan.

Tahun lalu, satu lukisan Klimt bertajuk Dame mit Fächer (Lady with a Fan) dijual pada harga AS$108.4 juta (kira-kira RM515.6 juta) menjadikannya karya seni paling mahal pernah dijual di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 3:29 PM