GAMBAR pereka hiasan dalaman Florence Knoll Bassett.
GAMBAR pereka hiasan dalaman Florence Knoll Bassett.
Hartini Mohd Nawi

PEREKA yang mempelopori pelan pejabat terbuka konsep moden, Florence Knoll Bassett meninggal dunia 25 Januari lalu pada usia 101 tahun. Berita itu diumumkan Timbalan Presiden Komunikasi Kanan Knoll, David E Bright.

Pada masa sama, peng­kritik seni bina Amerika Paul Goldberger pula antara individu yang memberi penghormatan kepada Florence di Twitternya, dengan menggambarkan pereka itu sebagai daya reka bentuk yang cemerlang.

Pengkritik Alexandra Lange pula menggelarkan Florence sebagai pereka sofa sempurna, ‘pemetik’ bakat dan ratu pejabat.

ANTARA idea awal Florence yang mempelopori pelan pejabat terbuka konsep moden.
ANTARA idea awal Florence yang mempelopori pelan pejabat terbuka konsep moden.

Berperanan sebagai penggerak di sebalik pembangunan jenama perabot Knoll, Florence dianggap antara tokoh yang paling berpengaruh dalam reka bentuk abad ke-20.

Sedikit latar belakang mengenai pereka termasyhur ini, Florence belajar di Kingswood School for Girls di Michigan, Amerika Syarikat dan berkesempatan menuntut ilmu daripada arkitek dari Finland, Eliel Saarinen yang turut merancang bangunan berkenaan.

Kemudian dia mempelajari ilmu seni bina di Cranbrook Academy of Art dan Eliel adalah pengetua akademi itu.

Ketika usia muda, Florence turut menuntut di Massachusetts Institute of Technology, berguru dengan Marcel Breuer dan Walter Gropius.

DEFINISI konsep moden terbuka membuka mata banyak pihak.
DEFINISI konsep moden terbuka membuka mata banyak pihak.

Selain itu dia juga menimba pengetahuan di Architectural Association, London sebelum menamatkan latihannya di Institut Teknologi Illinois di bawah kendalian Ludwig Mies van der Rohe.

Selepas menamatkan pengajian, Florence berpindah ke New York City untuk mengamalkan ilmu seni bina yang dipelajarinya.

Bagaimanapun, selepas berkahwin dengan Hans Knoll iaitu pewaris syarikat perabot berinspirasikan Stuttgart, Jerman pasangan itu akhirnya bekerjasama membawa estetika reka bentuk Eropah ke Amerika Syarikat.

Sebahagian daripada wawasan Florence adalah memperjuangkan ruang kerja terbuka dengan rekaan perabot sesuai tanpa dinding.

TRANSISI reka bentuk ruang ilham Florence yang diterima masyarakat dunia.
TRANSISI reka bentuk ruang ilham Florence yang diterima masyarakat dunia.

Lebih membanggakan, beliau menjadi wanita pertama yang menerima pingat emas untuk reka bentuk perindustrian daripada American Institute of Architects (AIA) pada 1961, manakala pada 2003 beliau dianugerahkan ‘National Medal of Arts.’

Hari ini, Knoll kekal sebagai antara jenama perabot terbesar dan paling penting di dunia.

Pameran karya beliau bertajuk Florence Knoll Bassett: Mendefinisikan Moden, pernah diadakan di Philadelphia Museum of Art pada 2004.

KONSEP diketengahkan selari dengan ilmu seni bina yang dipelajari wanita pertama yang menerima pingat emas untuk reka bentuk perindustrian dari AIA ini.
KONSEP diketengahkan selari dengan ilmu seni bina yang dipelajari wanita pertama yang menerima pingat emas untuk reka bentuk perindustrian dari AIA ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 5:04 PM