BERNARD Arnault. FOTO AFP
BERNARD Arnault. FOTO AFP
Agensi

Paris: Nama Bernard Arnault mungkin kurang dikenali, namun sebenarnya pemilik rangkaian barangan mewah terkemuka dunia, LVMH menjadi pesaing hebat bilionair lain.

Beliau adalah individu kelima pernah menduduki tempat teratas dalam Indeks Kekayaan Bloomberg sejak diperkenalkan 2012.

Arnault sebaris dengan taikun Mexico, Carlos Slim; Pengasas Bersama Microsoft, Bill Gates; Pengasas Amazon, Jeff Bezos serta pemilik Tesla, Elon Musk.

Indeks Kekayaan Bloomberg pada Selasa minggu lalu, mendedahkan kali pertama Arnault berusia 73 tahun itu mendahului senarai orang terkaya dengan nilai kekayaan AS$170.8 bilion (RM752.8 bilion) sekali gus merampas kedudukan Musk, buat seketika.

Walaupun menjadi tunjang belakang puluhan jenama mewah seperti Louis Vuitton, Givenchy dan Kenzo, Arnault kurang dikenali dunia kerana tidak aktif di media sosial termasuk Twitter, dan jarang membuat penampilan secara terbuka.

Arnault yang dilahirkan di Roubaix, utara Perancis pada tahun 1949 adalah lulusan Sekolah Kejuruteraan Elit, Ecole Polytechnique.

Selepas tamat pengajian, Arnault terus bekerja dengan perniagaan keluarga Ferret Savinel dalam perindustrian pembinaan sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada pada 1981 sebelum menceburi bidang hartanah.

Arnault kembali ke Perancis dan menceburkan diri dalam rangkaian barangan mewah pada tahun 1984, apabila dia mengambil alih Boussac Saint-Freres, kumpulan tekstil muflis yang memiliki, Christian Dior.

Arnault membeli pegangan kawalan dalam LVMH pada 1989 yang menyaksikan dua syarikat utamanya, Louis Vuitton dan Moet Hennessy bergabung pada tahun 1987.

Sepanjang tiga dekad seterusnya, beliau menjadikan LVMH sebagai raksasa mewah yang menjual champagne, wain, minuman beralkohol, fesyen, barangan kulit, jam tangan, barang kemas, penginapan hotel, minyak wangi dan kosmetik melalui lebih 5,500 kedai di seluruh dunia.

Beliau juga cepat menyedari China akan menjadi pasaran utama hingga membuka kedai Louis Vuitton pertama di Beijing pada tahun 1992.

Arnault mempunyai lima anak daripada dua perkahwinan yang kesemuanya kini bekerja di firma itu atau salah satu jenamanya.

Arnault terkenal dengan diet ketat dan kerap bermain tenis juga adalah pengumpul seni dan mengetuai pembukaan Yayasan Louis Vuitton pada 2014, sebuah muzium seni persendirian di Bois de Boulogne, Paris.

Pada awal tahun ini, LVMH menarik balik had umur ketua eksekutifnya sekali gus membolehkan Arnault kekal menerajuinya sehingga 80 tahun.

Oktober lalu, Arnault dilaporkan berkata, LVMH menjual jet peribadinya bagi memastikan beliau kekal tidak menonjol (low-profile).

Beberapa akaun Twitter mempertikaikan mengenai isu pelepasan karbon daripada jet pejuang.

Isu itu menjadi topik hangat di Perancis dengan beberapa ahli politik mencadangkan pengharaman atau mengenakan cukai kepada jet peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 1:13 PM