Rishi Sunak. - FOTO AFP
Rishi Sunak. - FOTO AFP
AFP

London: Perdana Meteri Britain baharu yang kaya raya, Rishi Sunak dan keluarganya akan tinggal di pangsapuri di 10 Downing Street, walaupun memiliki rangkaian hartanah mewah termasuk satu di London.

Portfolio hartanah Sunak dilaporkan termasuk sebuah penthouse di California, sebuah rumah di daerah Kensington yang eksklusif dan sebuah rumah agam di kawasan pilihan rayanya di Yorkshire di utara England.

Setiausaha akhbar perdana menteri itu telah mengesahkan beliau akan berpindah ke Downing Street.

"Mereka akan berpindah ke flat nombor 10," kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa dia tidak tahu sama ada mereka mempunyai rancangan untuk menghias semula.

Boris Johnson sebelum ini, menerima kritikan kerana membaik pulih pangsapuri yang didiaminya dipercayai menelan belanja lebih £200,000 (RM1.1 juta).

Pengubahsuaian mewah pangsapuri Johnson yang beralamat di nombor 11 Downing Street, diawasi oleh isterinya Carrie.

Kontroversi mengenai cara ia dibiayai menyebabkan Johnson menerima kritikan hebat.

Butiran kertas dinding yang mahal, perabot yang sangat bergaya dan penderma yang memberi sumbangan menjadi bahan artikel akhbar yang tidak berkesudahan yang akhirnya menjejaskan kuasanya.

Unit kediaman di Downing Street. - FOTO AFP
Unit kediaman di Downing Street. - FOTO AFP

Walaupun pangsapuri nombor 10 di Downing Street berada di lokasi utama, ia agak kecil.

Perpindahan Sunak ke sana akan menandakan kembalinya pangsapuri itu sebagai rumah London perdana menteri Britain.

Secara tradisinya, pemimpin British tinggal di unit di atas nombor 10 Downing Street.

Bangunan utama adalah kediaman rasmi dan pejabat perdana menteri negara.

Canselor biasanya tinggal di pangsapuri lebih besar di atas nombor 11.

Bagaimanapun, apabila Tony Blair dan Gordon Brown menjadi perdana menteri dan canselor, mereka bertukar rumah untuk menampung keluarga Blair yang semakin ramai.

Malah, Sunak baru-baru ini berpindah dari pangsapuri nombor 10 kerana dia tinggal di sana ketika menjadi menteri kewangan Johnson, sehingga meletak jawatan pada Julai.

Ditanya mengapa dia memilih untuk tinggal di pangsapuri nombor 10 dan bukannya unit nombor 11 yang lebih besar, jurucakap itu berkata: "Mereka sangat gembira di sana."

Keluarga Sunak, yang mempunyai dua anak perempuan dan seekor anjing Labrador, bagaimanapun, tidak perlu bergantung pada penyokong kaya untuk membiayai sebarang hiasan semula kediaman mereka.

Sebelum berkahwin dengan anak perempuan jutawan India pada 2009, Sunak bekerja di syarikat pengurusan pelaburan Goldman Sachs.

Isterinya Akshata Murty memiliki kepentingan yang besar dalam syarikat perisian Infosys bapanya.

Bersama-sama, pasangan itu berada dalam senarai kaya The Sunday Times, dengan nilai bersih £730 juta (RM3.98 bilion).

Perdana menteri Britain telah berpangkalan di 10 Downing Street sejak 1735 dengan sebelum ini ia didiami Benjamin Disraeli, William Gladstone, Winston Churchill dan Margaret Thatcher.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 6:46 PM