BORIS Johnson. FOTO fail Reuters
BORIS Johnson. FOTO fail Reuters
AFP

London: Bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memperoleh bayaran lumayan lebih 1 juta pound sterling (RM5.46 juta) untuk memberikan ucapan berbayar.

Menurut dokumen rasmi kepentingan Ahli Parlimen United Kingdom, Johnson menerima bayaran antara 215,000 hingga 277,000 Pound Sterling (RM1.17 juta hingga RM1.5 juta) setiap kali memberikan ucapan.

Beliau menerima bayaran berkenaan sejak melepaskan jawatan pada September lalu.

Terkenal dengan retoriknya, Johnson dalam beberapa bulan kebelakangan ini menyampaikan ucapan kepada jurubank di New York, syarikat insurans di Amerika Syarikat, pada sidang kemuncak yang dianjurkan penyiar CNN di Portugal, dan satu lagi ceramah di India.

Johnson, 58, meninggalkan Downing Street selepas mengumumkan peletakan jawatannya pada Julai berikutan beberapa skandal yang mencemarkan jawatan perdana menteri, tetapi masih berkhidmat sebagai ahli parlimen untuk Parti Konservatif yang memerintah.

Beliau cuba membuat kemunculan semula politik yang hebat selepas pengunduran penggantinya, Liz Truss yang mencetuskan satu lagi pertandingan kepimpinan Konservatif.

Tetapi ahli Parlimen itu menyokong bekas menteri kewangannya, Rishi Sunak.

Johnson, yang popular dalam kalangan ahli partinya membayangkan tidak akan menolak tawaran untuk bertanding jawatan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa, berada di kedudukan yang baik untuk memastikan kemenangan Parti Konservatif pada 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 11:02 AM