KESAN kerosakan pada bangunan di Kyiv. FOTO EPA
KESAN kerosakan pada bangunan di Kyiv. FOTO EPA
AFP

Moscow: Tentera Rusia mendakwa 1,351 askarnya terkorban di Ukraine dan memindahkan lebih 400,000 orang awam dan pada masa sama mengutuk bekalan senjata Barat ke Kyiv.

Pada taklimat Moscow, pegawai kanan tentera memberikan maklumat terkini mengenai kematian tentera Rusia dalam beberapa minggu sambil menambah, 3,825 tenteranya cedera.

Seorang pegawai kanan kementerian pertahanan, Mikhail Mizintsev berkata, 419,736 orang awam dipindahkan ke Rusia dari kawasan dikuasai pemisah di Donetsk, Lugansk dan seluruh Ukraine.

Daripada jumlah itu, lebih 88,000 adalah kanak-kanak, manakala 9,000 adalah warga asing.

"Rusia akan terus membuka dan menyediakan koridor kemanusiaan ke semua arah," kata Mizintsev.

Seorang wakil kanan Staf Am, Sergei Rudskoi, berkata: "Kami menganggap satu kesilapan besar bekalan senjata ke Kyiv oleh negara Barat.

"Ini memanjangkan konflik, meningkatkan jumlah mangsa dan tidak akan dapat mempengaruhi hasil operasi," tambah Rudskoi.

"Tujuan sebenar bekalan sedemikian bukanlah untuk menyokong Ukraine, tetapi untuk mengheretnya ke dalam konflik ketenteraan yang berpanjangan," katanya.

"Sesetengah anggota Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) mencadangkan untuk menutup sempadan. Angkatan bersenjata Rusia akan bertindak mengikut," tambahnya.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berulang kali menggesa Nato untuk mengenakan zon larangan terbang ke atas negaranya.

Rudskoi berkata, Rusia sedang menjalankan operasi "di seluruh wilayah Ukraine".

Beliau mendakwa Ukraine kehilangan 14,000 tentera, manakala 16,000 lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:37 AM