GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Agensi

New Delhi: Lelaki berusia 30 tahun ditahan kerana didakwa merogol seorang wanita berusia 87 tahun di di sini.

Polis berkata, lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu itu tinggal berdekatan dengan rumah wanita berkenaan di kawasan Tilak Nagar di bandar ini.

BBC melaporkan, ketika kejadian, wanita itu yang terlantar, bersendirian di rumah pada petang Ahad apabila dia diserang dan dirompak.

Keluarga mangsa menyalahkan polis kerana hanya mendaftarkan aduan kecurian dan bukannya rogol.

Namun , ia dinafikan pihak berkuasa itu.

Polis berkata, keluarga wanita itu hanya melaporkan kecurian pada Ahad dan mendakwa merogol dalam aduan kedua pada hari Isnin.

Tetapi seorang ahli keluarga memberitahu akhbar Indian Express bahawa polis memaklumkan kepada mangsa dan anak perempuannya supaya tidak meneruskan kes rogol kerana ia akan memberi tekanan kepada mereka.

"Polis mendaftarkan kes kecurian dan tidak memaklumkan kepada kami," katanya.

Wanita itu tinggal bersama anak perempuannya, yang tiada di rumah semasa kejadian dan sebaik pulang, dia mendapati ibunya cedera.

Suruhanjaya Wanita Kebangsaan pada Isnin berkata, pihaknya menulis kepada Polis Delhi untuk meminta tindakan terhadap pegawai yang didakwa tidak bertindak segera.

Pada 2020, satu lagi kes rogol warga emas di New Delhi dilaporkan, namun mangsa yang berusia 86 tahun terselamat.

Rogol dan keganasan seksual menjadi tumpuan di India sejak rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang wanita muda di Delhi pada 2012.

Selepas kejadian itu, India memperkenalkan undang-undang baharu, termasuk hukuman mati dan berjanji untuk menubuhkan mahkamah khas untuk membicarakan kes rogol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 4:23 PM