FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
AFP

Paris: Pandemik Covid-19 bukan saja menimbulkan krisis kesihatan dunia malah, ia secara tidak langsung menyebabkan banyak kes penipuan baru dapat dikesan.

Berikut adalah 10 kes penipuan berkaitan Covid-19 dan vaksin dalam tempoh beberapa bulan ini.

1) Sejak kerajaan Perancis mewajibkan menunjukkan bukti penerimaan vaksin untuk memasuki kafe atau tempat awam, ia mengundang pasaran gelap bagi penjualan pas kesihatan palsu pada harga beberapa ratus euro.

Ia dijual secara berleluasa di media sosial malah, ada penjual berani mengiklankan perkhidmatan mereka secara terbuka.

'Vaksinasi adalah pilihan, terima kasih kepada perkhidmatan kami' dan 'Katakan tidak kepada vaksin dan dapatkan pas kesihatan tanpa perlu divaksinasi' adalah antara ayat pemasaran yang digunakan.

Penjualan sijil vaksin palsu juga dilaporkan berlaku di Rusia.

2) Sekurang-kurangnya 800 individu diberikan vaksin palsu di Uganda bulan lalu dalam satu sindiket penipuan membabitkan doktor dan kakitangan kesihatan yang tidak amanah. Mereka menyasarkan individu yang sanggup membayar untuk imunisasi palsu termasuk kakitangan korporat dengan bayaran antara 20 hingga 100 euro (kira-kira RM99 hingga RM495).

3) Satu penipuan berskala besar di Mumbai, India memperdaya 2,000 individu yang mana mereka menyangka telah menerima vaksin Covid-19. Namun, sebenarnya mereka hanya diberikan cecair saline.

4) Lima anggota gang di Agra, India menyamar sebagai kakitangan kesihatan lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) mengkremasi seorang individu yang sebenarnya adalah mangsa bunuh.

Mereka memakai PPE bagi mengaburi mata orang ramai yang menyangka mangsa maut kerana Covid-19.

5) Seorang lelaki yang menyamar penjawat awam dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang genetik ditahan pihak berkuasa di Kolkata, India pada Jun lalu selepas mengendalikan lapan kem pemberian vaksin.

Sekurang-kurangnya 250 individu kurang upaya dan transgender disuntik di salah satu kem dan 500 lagi percaya bahawa mereka diberi suntikan palsu.

5) Pasangan kaya warga Kanada sanggup pergi ke kawasan terpencil untuk mendapatkan vaksin yang diperuntukkan bagi komuniti Orang Asli. Mereka didenda AS$1,800 (kira-kira RM7,629) namun, ramai menganggap denda berkenaan terlalu murah dan meminta mereka dikenakan hukuman lebih tegas.

6) Seorang ahli farmasi di hospital di Wisconsin yang juga pengikut teori konspirasi dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah sengaja merosakkan ratusan dos vaksin Moderna.

Dia dilaporkan mengeluarkan bebuli vaksin itu dari peti beku dan membiarkannya di luar selama beberapa jam sebelum meletakkannya semula untuk diberikan kepada penerima vaksin.

Dia melakukan perbuatan itu kerana percaya secara salah bahawa vaksin adalah berbahaya dan boleh mengubah DNA manusia.

7) Empat individu ditahan di Indonesia selepas mencuri vaksin yang diperuntukkan bagi banduan dan menjualnya kepada orang awam.

Suspek mengambil lebih 1,000 dos vaksin Sinovac dan menawarkannya untuk pembeli di Jakarta dan Medan pada harga 250,000 rupiah (kira-kira RM74).

8) Seorang kakitangan kesihatan di lapangan terbang di Medan mengguna semula putik kapas yang digunakan untuk ujian calitan Covid-19.

Dia membasuh dan membungkus semula kapas berkenaan.

Polis berkata, perbuatan itu menyebabkan ribuan penumpang terjejas.

9) Penipuan penjualan dos palsu vaksin Pfizer dikesan di Poland dan Mexico pada harga AS$2,500 (kira-kira RM10,600) untuk satu dos.

Ia disimpan dalam bekas penyejuk minuman keras di klinik di Mexico manakala, di Poland dos palsu itu mengandungi bahan kosmetik dipercayai krim anti kedut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 5:32 PM