VAKSIN. FOTO AFP
VAKSIN. FOTO AFP
AFP

Moscow: Rusia kini berdepan masalah baharu apabila muncul kegiatan menawarkan sijil vaksinasi palsu di pasaran gelap.

Sergei, 30-an, yang menetap di Krasnodar tidak merancang untuk mendapatkan suntikan vaksin Sputnik V.

Dia menjumpai seorang lelaki yang menawarkan sijil palsu vaksin Covid-19 pada harga 15,000 ruble (kira-kira RM864), melalui aplikasi Telegram.

Tiga minggu selepas itu, Sergei memasuki portal perkhidmatan awam Rusia dan mendapati dia sudah memiliki sijil perakuan vaksin dan lengkap dua dos Sputnik V.

Ogos lalu Rusia menimbulkan kebimbangan terhadap Sputnik V dengan mendaftarkan vaksin lebih awal sebelum ujian klinikal berskala besar dilaksanakan, tetapi pakar antarabangsa berkata, ia selamat dan berkesan.

Banyak penduduk Rusia mengambil langkah waspada, dengan sekitar 60 peratus mengatakan mereka tidak merancang untuk diinokulasi.

Sergei berkata, dia yakin suntikan itu mempunyai kesan sampingan, dan bimbang vaksin itu hanya bersifat "eksperimental".

"Saya tidak mahu mati kerana apa yang kerajaan tetapkan," kata Sergei dalam perbualan di Telegram, menunjukkan AFP tangkap layar portal kerajaan yang menunjukkan sijil vaksinnya.

Sentimen itu telah membantu memupuk pasaran gelap di Telegram dan forum 'darknet' Rusia di mana puluhan peniaga mengaku menjual sijil palsu dan bahkan memalsukan pendaftaran di pangkalan data vaksinasi kerajaan.

Walaupun beberapa pelanggan mengadu ditipu, yang lain memberikan ulasan mengatakan semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Minggu lalu, Moscow menetapkan suntikan vaksin sebagai mandatori kepada pekerja industri, selepas hanya sejuta daripada 12 juta penduduknya mendapatkan suntikan itu dalam tempoh enam bulan.

Beberapa wilayah lain di Rusia mengikut jejak langkah sama.

Pengunjung restoran di Moscow perlu menunjukkan sijil vaksinasi mereka bermula 28 Jun ini.

Pihak berkuasa Moscow berkata, langkah itu dilihat menampakkan hasil selepas hampir 60,000 individu tampil mendapatkan suntikan setiap hari, 10 kali ganda berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, seorang peniaga di forum 'darknet' berkata, ketika ini dia menerima antara 20 dan 30 tempahan sijil vaksin palsu setiap hari.

"Saya juga mendapat permintaan untuk sijil vaksin bagi semua kakitangan sebuah syarikat," katanya.

Di pasaran gelap biasa, warga Rusia boleh mendapatkan sijil vaksin pada harga 2,000 ruble (kira-kira RM115).

Namun, di bahagian lain, seorang perantara boleh mendapatkan kakitangan perubatan 'menuang' dos vaksin dan memasukkan maklumat palsu ke dalam portal kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 10:16 PM