FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Paris: Lebih 100 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan di seluruh dunia, berdasarkan angka dikumpulkan AFP daripada sumber rasmi.

Namun, belum ada satu pun daripada 29 negara termiskin dunia memulakan program vaksinasi besar-besaran, sedangkan negara kaya sudah memberikan lebih dua per tiga daripada jumlah suntikan yang dirancang.

Israel mendahului setakat ini, dengan 37 peratus populasinya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala lebih satu per lima sudah melengkapkan dos kedua.

Selain Israel, negara lain yang sudah memberikan suntikan untuk rakyatnya adalah Amerika Utara, Eropah dan Teluk Parsi.

Berdasarkan angka per kapita, United Kingdom (UK) sudah memberikan suntikan kepada 13.7 peratus penduduknya, mendahului Amerika Syarikat (AS) (32.2 juta suntikan atau 7.9 peratus).

Kesatuan Eropah bagaimanapun berdepan perselisihan dengan AstraZeneca yang memberi kesan kepada jumlah bekalan vaksin menyebabkan hanya 12.7 juta suntikan dapat diberikan kepada 2.3 peratus penduduknya.

China pula sudah memberikan 24 juta suntikan.

India, di mana kebanyakan vaksin dihasilkan hanya memberikan suntikan kepada empat juta penduduknya setakat ini, jauh lebih kecil berbanding angka sebenar populasi keseluruhan negara berkenaan.

Berdasarkan kiraan AFP, sebanyak 101,317,005 suntikan sudah diberikan di 77 negara kaya.

Namun, beberapa negara kaya masih belum memulakan kempen vaksinasi termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia, yang masih boleh mengawal penularan dengan kawalan sempadan yang ketat dan kuarantin.

Ketika ini, terdapat tujuh vaksin diberikan di seluruh dunia, yang mana semuanya perlu diberikan sebanyak dua dos.

Vaksin dibangunkan Pfizer-BioNTech (AS-Jerman) dan Moderna (AS) digunakan di Amerika Utara, Eropah, Israel dan negara Teluk.

Manakala, AstraZeneca-Oxford dibangunkan Britain kebanyakannya digunakan di UK, India, Myanmar, Sri Lanka dan Maghribi, serta akan digunakan di Eropah tidak lama lagi.

India juga turut menggunakan vaksin yang dihasilkan sendiri dibangunkan Bharat Biotech.

Vaksin dari Rusia, Sputnik V kini digunakan di Rusia, Argentina, Algeria, Belarus dan Serbia.

Vaksin keluaran syarikat China, Sinopharm digunakan di China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Serbia dan Jordan, manakala Indonesia dan Turki menggunakan vaksin keluaran Sinovac juga dari China.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 7:55 PM