PEMANDU di Chessington membuat ujian calitan Covid-19 di pandu lalu di Chessington World of Adventures Resort, barat daya London. FOTO AFP
PEMANDU di Chessington membuat ujian calitan Covid-19 di pandu lalu di Chessington World of Adventures Resort, barat daya London. FOTO AFP
AFP

London: Penyelidik Britain berharap untuk mendedahkan sukarelawan yang sihat kepada virus yang menyebabkan Covid-19 dalam kajian ulung untuk mengenal pasti jumlah yang diperlukan sebelum seseorang dijangkiti.

The Human Challenge Programme, kerjasama yang turut membabitkan Imperial College London diharap dapat membantu 'mengurangkan penyebaran Covid-19, mengurangkan impak dan kematian'.

Apa yang dipanggil penyelidik sebagai pertama seumpamanya di dunia, peringkat permulaan projek ini akan menilai kemungkinan mendedahkan individu sihat terhadap SARS-CoV-2.

Mereka menjangka untuk mendapatkan sukarelawan berusia antara 18 dan 30 tahun yang tiada masalah kesihatan seperti penyakit jantung, diabetes atau obesiti.

"Dalam fasa ini, ia memberi tumpuan untuk mengetahui berapa jumlah virus yang menyebabkan berlakunya jangkitan Covid-19,' kata Imperial College dalam kenyataan.

Profesor di bahagian perubatan eksperimental, Peter Openshaw berkata, sukarelawan itu akan dijangkiti melalui hidung.

"Kelebihan utama daripada penyelidikan ini adalah kita boleh melihat setiap individu secara terperinci bukan saja di peringkat jangkitan tetapi setiap fasa yang dilalui," katanya.

Penyelidik akan menggunakan hasilnya untuk mengkaji bagaimana vaksin dapat berfungsi dan untuk mencari rawatan yang berpotensi.

Oleh kerana kajian ini membuatkan sukarelawan sengaja 'dijangkiti', saintis dapat melihat keberkesanannya dengan cepat, dengan menguji apakah mereka yang telah mendapat vaksin cenderung tidak dijangkiti virus.

"Keutamaan kami adalah keselamatan sukarelawan," kata Chris Chiu, dari jabatan penyakit berjangkit Imperial.

"Tidak ada kajian yang benar-benar bebas risiko, tetapi kami akan bekerja keras untuk memastikan risiko serendah mungkin.

"Pengalaman dan kepakaran United Kingdom (UK) dalam percubaan ke atas manusia dan sains Covid-19 yang lebih luas akan membantu kita menangani wabak ini, memberi manfaat kepada UK dan seluruh dunia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 8:37 PM