GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

New Delhi: Gara-gara enggan memindahkan nama pemilikan harta, seorang lelaki tergamak menyeksa teman wanitanya dengan kejam.

Wanita itu bukan sahaja dipukul, diikat serta mulut ditutup mulutnya dengan pita pelekat, malah lelaki itu turut bertindak kejam dengan meletakkan serbuk cili di dalam matanya.

Bercakap kepada India Today TV, Asisten Superintendan Maan Singh Thakur berkata kejadian berlaku pada Selasa di daerah Guna, Madhya Pradesh.

Katanya, mangsa dan tertuduh sudah menjalinkan hubungan sejak dua tahun lalu namun hubungan itu menjadi keruh baru-baru ini.

"Suspek mengikat wanita itu dan membelasahnya. Dia kemudian meletakkan serbuk cili di dalam mata mangsa dan menutup mulutnya.

"Mangsa wanita itu mendedahkan suspek adalah jirannya yang mahukan harta pusaka daripada mangsa itu.

"Bapa wanita itu sudah meninggal dunia dan rumah nenek moyang mereka didaftarkan atas nama ibunya.

"Suspek mahu pendaftaran harta itu dipindahkan kepada namanya. Apabila enggan, suspek bertindak luar batas apabila menyerang mangsa secara fizikal," katanya.

Beliau berkata, polis menahan suspek berdasarkan kenyataan mangsa dan siasatan sudah dimulakan dengan maklumat awal mendapati kedua-duanya sudah lama menjalinkan hubungan serta berjiran.

"Mangsa yang dimasukkan ke hospital daerah kini berada dalam keadaan kritikal.

"Menurut doktor, keadaannya dikatakan serius berikutan perlakuan tidak berperikemanusiaan terhadapnya," kata polis itu.

Menurutnya, polis turut merampas minuman keras haram dari kediaman tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:22 PM