PENUNJUK perasaan melaungkan slogan dan memegang gambar Suu Kyi ketika menyertai demonstrasi antijunta di Bangkok, pada 22 Julai 2022. FOTO fail AFP
PENUNJUK perasaan melaungkan slogan dan memegang gambar Suu Kyi ketika menyertai demonstrasi antijunta di Bangkok, pada 22 Julai 2022. FOTO fail AFP
Reuters

Naypyidaw: Bekas pemimpin Myanmar dan pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi, dipindahkan dari penjara ke tahanan rumah.

Jurucakap kerajaan, Mejar Jeneral Zaw Min Tun berkata, keadaan cuaca yang panas antara faktor keputusan itu dibuat.

"Memandangkan cuaca sangat panas, ia bukan sahaja untuk Aung San Suu Kyi. Bagi mereka yang memerlukan langkah berjaga-jaga, terutamanya banduan warga emas, kami sedang berusaha untuk melindungi mereka daripada strok haba," katanya.

Suu Kyi, 78, ditahan oleh tentera Myanmar sejak ia menggulingkan kerajaan dalam rampasan kuasa pada 2021.

Dia berdepan hukuman penjara 27 tahun kerana pelbagai kesalahan jenayah, termasuk pengkhianatan, rasuah sehinggalah melanggar undang-undang telekomunikasi.

Bagaimanapun, semua pertuduhan itu dinafikannya.

Pada Februari lalu, anak lelakinya, Kim Aris berkata, Suu Kyi ditahan dalam kurungan bersendirian dan berada dalam semangat yang baik, walaupun kesihatannya tidak sebaik dulu.

Pemimpin dunia dan aktivis prodemokrasi juga sudah berulang kali menyeru supaya Suu Kyi dibebaskan.

Jurucakap kerajaan bayangan, NUG, menggesa pembebasan tanpa syarat Suu Kyi dan U Win Myint iaitu presiden Myanmar yang digulingkan.

U Win Myint juga sudah dipindahkan ke tahanan rumah.

"Memindahkan mereka dari penjara ke rumah adalah baik, kerana rumah lebih baik daripada penjara.

"Bagaimanapun, mereka mesti dibebaskan tanpa syarat," kata jurucakap NUG, Kyaw Zaw.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 12:24 PM