AUNG San Suu Kyi. FOTO fail AFP
AUNG San Suu Kyi. FOTO fail AFP
Reuters

Naypyidaw: Junta Myanmar kemungkinan memindahkan pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dari penjara ke tahanan rumah di ibu negara, lapor dua agensi berita pada Rabu.

Pemenang Hadiah Nobel berusia 78 tahun itu ditahan sejak awal 2021 selepas tentera menggulingkan kerajaan dalam rampasan kuasa dan melancarkan tindakan keras berdarah ke atas lawan yang menyaksikan ribuan orang dipenjarakan atau dibunuh.

Associated Press memetik seorang pegawai keselamatan tidak dikenali sebagai berkata, tindakan memindahkan Suu Kyi adalah satu bentuk pengampunan kepada banduan, dan sebahagian daripada upacara keagamaan yang dijadualkan minggu depan.

Perkhidmatan BBC dalam bahasa Burma memetik sumber yang dekat dengan penjara sebagai berkata, Suu Kyi mungkin dipindahkan ke rumah yang biasanya digunakan oleh pegawai kerajaan.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan atau keberadaan Suu Kyi.

Sementara itu, jurucakap tentera Myanmar tidak memberi maklum balas segera bagi mengulas isu berkenaan.

Peguam Suu Kyi dan jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan Nasional, yang menentang pemerintahan tentera pula tidak dapat mengesahkan laporan itu.

"Berita penambahbaikan keadaan dialu-alukan, tetapi tidak mengubah statusnya sebagai tahanan," kata jurucakap NUG, Kyaw Zaw.

Suu Kyi dilaporkan sedang membuat rayuan pengurangan hukuman yang ditambah sehingga 33 tahun selepas beliau disabitkan dengan kesalahan melakukan hasutan dan penipuan pilihan raya sehingga kepada pertuduhan rasuah.

Beliau menafikan semua tuduhan itu.

Banyak kerajaan Barat mengecam perlakuan junta terhadap Suu Kyi dan yang lain, menyeru supaya pemimpin itu dibebaskan.

Bulan ini, Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai berkata, beliau ada bertemu dengan Suu Kyi, baru-baru ini, dan menjadi pegawai asing pertama yang diberikan akses kepada pemimpin berkenaan sejak dia ditahan lebih dua tahun lalu.

Suu Kyi pertama kali diletakkan di bawah tahanan rumah pada 1989 selepas melakukan bantahan besar-besaran menentang pemerintahan tentera selama beberapa dekad.

Pada 1991, Suu Kyi memenangi Hadiah Keamanan Nobel kerana berkempen untuk demokrasi tetapi hanya dibebaskan sepenuhnya daripada tahanan rumah pada 2010.

Dia 'menyapu bersih' kerusi dipertandingkan pada pilihan raya 2015, yang diadakan sebagai sebahagian daripada reformasi ketenteraan. Namun, pembabitannya dalam politik terhenti susulan rampasan kuasa, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 11:21 AM