KENDERAAN tentera Israel mengawal sempadan susulan ketegangan yang semakin meningkat. FOTO Reuters.
KENDERAAN tentera Israel mengawal sempadan susulan ketegangan yang semakin meningkat. FOTO Reuters.
Reuters

Tel Aviv: Rakyat Israel menunggu tindakan apa yang akan diambil Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu sebagai balasan kepada serangan langsung pertama Iran ke atas negara itu, yang meraih tekanan antarabangsa susulan peningkatan konflik di Timur Tengah.

Netanyahu semalam memanggil Kabinet perangnya buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam untuk mempertimbangkan tindak balas terhadap serangan Iran Ahad lalu, kata sumber kerajaan.

Ketua Staf Tentera Herzi Halevi mengesahkan negaranya akan bertindak balas, namun beliau tidak memperincikan bentuk tindakan akan diambil rejim itu.

"Pelancaran begitu banyak peluru berpandu dan dron ke wilayah Israel akan dibalas," katanya di Pangkalan Udara Nevatim di selatan Israel, yang mengalami kerosakan kecil akibat serangan Iran.

Ketika ini, Israel kekal dalam keadaan berjaga-jaga, tetapi pihak berkuasa sudah menarik balik beberapa langkah kecemasan termasuk larangan ke atas aktiviti sekolah dan had bagi perhimpunan skala besar.

Kemungkinan serangan balas Israel membimbangkan ramai rakyat Iran yang sudah menanggung keperitan ekonomi dan kawalan sosial serta politik yang lebih ketat sejak protes pada 2022/23.

Iran melancarkan serangan pada hujung minggu itu sebagai membalas serangan udara didakwa dilakukan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April lalu.

Walaupun serangan tidak menyebabkan kematian dan kerosakan meluas, ia meningkatkan kebimbangan terhadap perang terbuka antara musuh lama selain keganasan yang berakar umbi dalam perang Gaza.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Ahad memberitahu Netanyahu yang AS tidak akan mengambil bahagian dalam serangan balas Israel ke atas Iran.

AS sebelum itu membantu negara sekutunya memintas lebih 300 dron dan peluru berpandu Iran yang disasar ke atas Israel.

Sejak perang di Gaza bermula Oktober lalu, pertempuran semakin meluas antara Israel dan kumpulan bersekutu Iran di Lubnan, Syria, Yaman dan Iraq.


AS$1.35 bilion kos tangkis serangan Iran

Hizbullah sertai Iran, serang Israel

Iran lancar lebih 200 dron, peluru berpandu ke arah Israel


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 11:59 AM