IRAN mempamerkan persenjataan pada sambutan Hari Angkatan Tentera  di Tehran, kelmarin. FOTO WANA (West Asia News Agency) via Reuters
IRAN mempamerkan persenjataan pada sambutan Hari Angkatan Tentera di Tehran, kelmarin. FOTO WANA (West Asia News Agency) via Reuters
Syarifah Dayana Syed Bakri

Tumpuan dunia kini beralih ke drama baharu antara Iran dan Israel selepas Iran melancarkan serangan pertamanya ke arah Israel, minggu lalu.

Israel disokong oleh sekutunya, memintas sebahagian besar daripada 300 peluru berpandu dan dron yang dilancarkan oleh Iran dan tiada sebarang kematian dilaporkan hasil serangan itu.

Iran berkata, serangan itu dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap serangan 1 April ke atas konsulatnya di Damsyik yang dipercayai angkara Israel.

Iran adalah penyokong utama kumpulan Hamas dan Hizbullah Lubnan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang telah berikrar untuk memusnahkan Hamas atas serangan 7 Oktober yang memulakan perang Gaza, telah menegaskan bahawa Israel 'memiliki hak untuk melindungi dirinya' terhadap Iran.

Amerika Syarikat, sekutu utama Israel dan pembekal tentera, telah menjelaskan ia tidak akan menyertai serangan balas terhadap Iran, tetapi mendedahkan sekatan terhadap orang dan entiti yang terbabit dalam menghasilkan dron yang digunakan dalam serangan Iran.

Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian telah memberi amaran bahawa Tehran akan membuat Israel 'menyesali' sebarang serangan ke atas republik Islam itu.

Selepas serangan dron itu, Netanyahu memanggil Kabinet perangnya buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam untuk mempertimbangkan tindak balas terhadap serangan Iran yang berlaku pada Ahad lalu.

Ketua Staf Tentera Herzi Halevi mengesahkan negaranya akan bertindak balas namun beliau tidak memperincikan bentuk tindakan akan diambil rejim itu.

Akhirnya, semalam Israel mengambil langkah dengan melakukan serangan balas.

Agensi berita Iran Fars melaporkan tiga letupan kedengaran berhampiran pangkalan udara tentera Shekari di barat laut wilayah Isfahan, manakala jurucakap agensi angkasa lepas Iran, Hossein Dalirian berkata beberapa dron telah berjaya ditembak jatuh.

Kemudahan nuklear di Isfahan dilaporkan sepenuhnya selamat, lapor agensi berita Tasnim Iran, memetik sumber yang boleh dipercayai.

Selepas serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran ke arah Israel pada Sabtu dan Ahad lalu, Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas faktor keselamatan.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata, kerajaan mempertimbangkan tindakan itu sebagai langkah berwaspada.

Sementara itu, The Sun melaporkan melihat kepada perbandingan persediaan ketenteraan antara kedua-dua seteru ini, Iran berada di belakang Israel dari segi bajet pertahanan namun Iran mendahului Israel dari segi bilangan tentera yang aktif.

Berdasarkan laporan itu, bajet pertahanan Israel adalah AS$24.2 bilion (kira-kira RM115 bilion), manakala Iran pula AS$9.9 bilion (kira-kira RM47 bilion).

Mengenai kekuatan pesawat udara, Israel mempunyai sejumlah 612 pesawat dan Iran (551 pesawat). Bagaimanapun, dari segi kereta kebal, Iran mempunyai kekuatan hampir dua kali ganda berbanding Israel.

Israel mempunyai 2,200 kereta kebal, manakala Iran (4,071 kereta kebal).

Iran juga mendahului Israel dalam kekuatan tentera laut, yang mana Israel mempunyai 67 kapal perang, berbanding Iran yang mempunyai armada 101 kapal perang yang sudah lama wujud.

Selain itu, Israel mempunyai 43,000 kenderaan berperisai, manakala Iran dengan 65,000 kenderaan berperisai.

Iran juga mempunyai lebih kekuatan berbanding Israel dari segi bilangan tentera. Israel mempunyai 173,000 anggota tentera, manakala Iran 575,000 anggota yang aktif.

Menurut laporan media antarabangsa, Israel kini mempunyai 80 bom nuklear, manakala Iran secara rasmi tidak mempunyai bom nuklear.

Jika dilihat dari satu sudut, mungkin Gaza boleh bernafas sedikit selepas tentera Israel sibuk menangkis serangan Iran.

Namun, apakan daya. Israel tetap menyerang Gaza dengan lebih banyak serangan maut dilancarkan ke atas Gaza yang dikepung pada Khamis.

Syawal masih berbaki, moga penduduk Gaza diberi peluang untuk bernafas lagi.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 7:02 AM