SISTEM anti peluru berpandu diaktifkan selepas Iran melancarkan serangan ke arah Israel semalam. FOTO Reuters.
SISTEM anti peluru berpandu diaktifkan selepas Iran melancarkan serangan ke arah Israel semalam. FOTO Reuters.
Agensi

Tel Aviv: Kira-kira AS$1.35 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung Israel dalam menangkis serangan lebih 300 dron dan peluru berpandu Iran, semalam.

Anggaran kos itu dibuat bekas penasihat kewangan kepada ketua staf tentera Israel, Brig Jen Ram Aminach yang dilapor media tempatan Yedioth Ahronoth yang dipetik TRT World.

"Kos pertahanan malam tadi dianggarkan antara empat ke lma bilion Shekels (AS$1.08 hingga AS$1.35 bilion), dan ini hanya mengenai pintasan terhadap apa yang dilancarkan oleh Iran, bukannya kemusnahan kecil (dialami) kali ini.

"Satu peluru berpandu 'Arrow' digunakan untuk memintas peluru berpandu balistik Iran bernilai AS$3.5 juta, manakala kos satu peluru berpandu 'Magic Wand' ialah A$1 juta, sebagai tambahan kepada pesawat yang terbabit untuk memintas dron Iran," kata Aminach.

Semalam, jurucakap tentera Daniel Hagari yang dilapor akhbar Israel Haaretz berkata, sejumlah 350 peluru berpandu dan dron dilancar dari Iran ke arah Israel, kebanyakannya berjaya dipintas.

Beliau mengesahkan kerosakan berlaku di pangkalan udara Nevatim di Beersheba, manakala "99 peratus daripada ancaman terhadap Israel telah dipintas."

"Sebanyak 25 daripada 30 peluru berpandu 'cruise' telah dipintas, dan daripada lebih 120 peluru berpandu balistik, hanya beberapa daripadanya menembusi Israel dan mendarat di pangkalan udara Nevatim," tambahnya.

Hagari mendakwa bahawa cubaan Iran untuk memusnahkan keupayaan Tentera Udara Israel gagal dan pangkalan Nevatim masih terus beroperasi.

Katanya, selain serangan Iran, peluru berpandu dan dron turut dilancarkan dari wilayah Lubnan, Iraq dan Yaman.

Hizbullah sertai Iran, serang Israel

Iran lancar lebih 200 dron, peluru berpandu ke arah Israel

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 9:57 AM