Reuters

HELSINKI: Polis Finland mendedahkan rangkaian penderaan kanak-kanak yang melihat budak lelaki semuda enam tahun didera secara seksual di negara itu sebelum rakaman diedarkan dan ditukar-tukarkan di Internet, kata Biro Siasatan Kebangsaannya.

Ketua Penyiasat Sanna Springare berkata, siasatan merangkumi 17 negara Barat, kebanyakannya di Eropah, namun tidak mengulas lanjut.

Penyiasat berkata, lima lelaki ditahan kerana disyaki mendera dan meliwat kejam mangsa mereka enam budak lelaki berusia antara enam hingga 15 tahun yang kadangkala diberi dadah sepanjang 14 tahun antara 2004 hingga 2018.

“Bentuk penderaan paling ‘ringan’ di Finland adalah menunjukkan bahan lucah dewasa kepada mangsa kanak-kanak, manakala yang terburuk adalah meliwat budak yang diberi dadah selama 10 jam,” katanya.

Sanna berkata, suspek utama disyaki mengetuai kumpulan lelaki berkenaan yang menashilkan rakaman yang diedarkan di peringkat antarabangsa, ada kalanya menggunakan siaran langsung di Internet, untuk menerima bahan sama dari negara lain sebagai pertukaran, kata polis.

Satu daripada bahan haram diterima dari luar negara dan diedarkan semula rangkaian di Finland itu termasuk rakaman menunjukkan seorang kanak-kanak mati ketika didera, kata pasukan itu.

Sanna enggan mendedahkan butiran suspek atau lokasi jenayah untuk melindungi mangsa. Kes itu kini diserahkan kepada pendakwa yang akan mempertimbangkan sama ada mendakwa suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:22 PM