PENUNJUK perasaan pro-Palestin berhimpun berhampiran ICJ di The Hague, Belanda. FOTO Reuters
PENUNJUK perasaan pro-Palestin berhimpun berhampiran ICJ di The Hague, Belanda. FOTO Reuters
Agensi

Ramallah: Kementerian Luar Palestin pada Jumaat memberitahu bahawa sistem antarabangsa "berhutang budi dengan Afrika Selatan" kerana mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan genosid (pembunuhan beramai-ramai) terhadap rakyat Palestin.

Agensi Anadolu melaporkan, kenyataan itu dibuat pendengaran awam selama dua hari di ICJ, selesai.

"Kes Afrika Selatan mengetengahkan bukti kukuh bahawa Israel dengan sengaja melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid," kata kementerian itu, menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Dakwanya, Afrika Selatan mengambil langkah berani berdasarkan prinsip mulia untuk memikul tanggungjawab dan komitmennya sebagai negara pihak kepada Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

"Rakyat Palestin akan tetap terhutang budi kepada kerajaan Afrika Selatan dan rakyatnya yang berani kerana berdiri dalam menghadapi ketidakadilan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin," katanya.

Afrika Selatan, yang memfailkan kes itu pada Disember lalu, menuduh pihak berkuasa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Negara itu meminta langkah sementara daripada mahkamah untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk dengan meminta Israel untuk segera menghentikan serangan tentera.

Afrika Selatan membentangkan senarai dakwaan berhubung tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel pada hari pertama perbicaraan Khamis lalu.

Israel pula mengemukakan pembelaan pada Jumaat.

Israel dilaporkan membunuh lebih 23,700 rakyat Palestin di Gaza, susulan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

Serangan Israel di Gaza juga menyebabkan perpindahan besar-besaran, kemusnahan dan kebuluran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 12:34 PM