KIM Jong Un. FOTO KCNA/ KNS / AFP
KIM Jong Un. FOTO KCNA/ KNS / AFP
BERNAMA

Seoul: Korea Utara merancang untuk melancarkan tambahan tiga satelit pengintip pada 2024, selepas kejayaan melancarkan satelit pertama negara itu bulan lepas.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menetapkan matlamat itu semasa membuat penggulungan pada mesyuarat pleno Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea yang berlangsung selama lima hari, lapor Agensi Berita Yonhap pada Ahad memetik Agensi Berita KCNA.

"Berdasarkan pengalaman melancarkan dengan jayanya dan mengendalikan satelit pengintip pertama pada tahun 2023 dalam sektor pembangunan angkasa, tugas melancarkan tiga lagi satelit pengintip pada tahun 2024 diumumkan dan semua langkah untuk memacu pembangunan teknologi sains angkasa dibincangkan," kata KCNA.

Pyongyang berjaya meletakkan satelit pengintip tentera, dinamakan Malligyong-1 di orbit pada 21 November selepas dua percubaan yang gagal pada Mei dan Ogos.

"Kami perlu bertindak balas secara pantas terhadap kemungkinan krisis nuklear dan menggerakkan semua langkah mungkin, termasuk kuasa nuklear dalam usaha mempercepatkan persiapan untuk peristiwa besar iaitu menempatkan seluruh wilayah Korea Selatan di bawah kawalan kami," kata Kim.

Beliau juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan keupayaan ketenteraan Tentera Laut dan membangunkan peralatan bersenjata tanpa pemandu dan alat-alat untuk peperangan elektronik dalam usaha untuk melaksanakan projek pertahanan utamanya dengan lebih baik.

Kim juga berkata, beliau tidak lagi akan menganggap Korea Selatan sebagai pihak untuk berdamai dan bersatu dengan, selain berkata, Seoul mengisytiharkan Pyongyang sebagai musuh utama.

Beliau berkata, Parti Pekerja juga membuat kesimpulan bahawa penyatuan dengan Korea Selatan adalah tidak mungkin.

Pemimpin Korea Utara itu berkata, hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan menjadi hubungan "dua negara yang bermusuhan" atau "dua negara yang menunggu untuk bertempur."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 8:47 AM