KIM Jong Un. FOTO AFP/KCNA VIA KNS
KIM Jong Un. FOTO AFP/KCNA VIA KNS
BERNAMA-YONHAP

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un memeriksa satelit pengintip tentera pertama negara itu dan memberi lampu hijau untuk pelan tindakan seterusnya, kata media kerajaan Pyongyang pada Rabu, sambil menambah bahawa satelit itu "sedia untuk dimuatkan" pada roket.

Kim membuat pemeriksaan di tapak Jawatankuasa Persediaan Pelancaran Satelit Tidak Tetap sehari lebih awal untuk menyemak status keseluruhan satelit pengintip dan meluluskan "pelan tindakan masa depannya", agensi berita Yonhap memetik media kerajaan, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

"Selepas membiasakan diri secara terperinci dengan kerja jawatankuasa itu, beliau memeriksa satelit pengintip tentera No. 1 yang sedia untuk dimuatkan selepas menjalani pemeriksaan terakhir dan ujian persekitaran angkasa lepas," katanya dalam satu mesej dalam bahasa Inggeris.

Kim menegaskan bahawa kejayaan pelancaran satelit itu adalah "keperluan segera" di bawah persekitaran keselamatan semasa dan proses "memperkukuh keupayaan pertahanan atas dasar keutamaan."

KCNA bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai "pelan tindakan masa depan," termasuk tarikh sebenar pelancarannya.

Pembangunan satelit pengintip adalah satu daripada projek senjata utama diumumkan oleh Kim semasa mesyuarat parti pemerintah pada Januari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 1:28 PM