SYARIKAT Liu menawarkan khidmat memusnahkan gambar perkahwinan. FOTO Agensi
SYARIKAT Liu menawarkan khidmat memusnahkan gambar perkahwinan. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Sebuah syarikat di wilayah Shandong, China mendapat perhatian ramai selepas menawarkan khidmat memusnahkan gambar perkahwinan dengan harga yang murah dan berkesan kepada pasangan yang sudah bercerai.

Oddity Central melaporkan, perniagaan itu diasaskan oleh pemuda bernama Liu iaitu pemilik syarikat yang pakar dalam memusnahkan gambar perkahwinan, membantu pelanggan melupakan masa lalu di samping melindungi privasi mereka.

"Saya memulakan perniagaan ini dengan privasi sebagai motivasi mudah.

"Gambar perkahwinan termasuk dalam kategori barangan privasi peribadi, dan saya percaya terdapat permintaan yang kuat untuk perkhidmatan saya.

"Kami menerima pesanan dari setiap wilayah dan perbandaran di seluruh China, kecuali Tibet," kata Liu kepada Bailu Video.

Menurut Liu, proses memusnahkan gambar itu agak mudah.

Syarikatnya juga menawarkan beberapa pilihan harga kepada pelanggan bermula dengan 10 yuan (kira-kira RM6.40) hingga lebih 100 yuan (kira-kira RM64.30).

Caj dikenakan bergantung kepada saiz gambar perkahwinan yang perlu dimusnahkan.

Selepas persetujuan dicapai, pelanggan dikehendaki menghantar gambar itu ke pangkalan operasi di Langfang, Wilayah Shandong.

Di situ, kakitangan akan melakukan tugas mereka bermula dengan menutup gambar dengan cat semburan untuk memastikan bahawa 'protagonis' tidak dapat dilihat.

Kemudian, mereka akan memasukkannya ke dalam mesin carik yang berkuasa tinggi.

Keseluruhan proses dirakam dan rakaman dihantar kepada pelanggan sebagai bukti.

Perkhidmatan ditawarkan syarikat Liu mungkin satu-satunya yang ada di China, tetapi kejayaannya mengejutkan pemiliknya.

Ia juga salah satu daripada beberapa penyelesaian yang ada untuk memusnahkan gambar perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 1:24 PM