KERETA kebal Israel yang menyertai latihan ketenteraan di berhampiran sempadan Luban. FOTO Reuters
KERETA kebal Israel yang menyertai latihan ketenteraan di berhampiran sempadan Luban. FOTO Reuters
AFP

Tel Aviv: Tentera Israel pada Khamis mendakwa, sebahagian daripada senjata digunakan Hamas dalam serangan pada 7 Oktober adalah senjata yang dibuat di Iran atau Korea Utara.

Tentera Israel membuat kenyataan itu semasa lawatan media rasmi di mana ia memaparkan pelbagai senjata yang ditemukan daripada masyarakat di selatan Israel yang diserang pejuang Palestin.

Pelbagai periuk api, roket pelancar grenad (RPG) dan dron buatan sendiri adalah sebahagian daripada persenjataan yang dipaparkan.

Sebahagian daripada senjata itu didakwa termasuk peluru mortar buatan Iran dan RPG buatan Korea Utara.

"Saya fikir kira-kira lima hingga 10 peratus daripada senjata itu dibuat di Iran," kata seorang pegawai tentera Israel, yang membantu mengawasi pembersihan amunisi dari kawasan yang diserang.

"Dan 10 peratus adalah buatan Korea Utara. Selebihnya dibuat di dalam Semenanjung Gaza," tambah pegawai itu yang mahu bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Hamas dipercayai bergantung kepada rangkaian yang meluas untuk membawa senjata ke Semenanjung Gaza yang dikepung.

Kumpulan pejuang itu juga menghasilkan peluru sendiri termasuk roket yang berulang kali ditembak ke bandar-bandar diduduki Israel secara haram.

"Saya rasa perkara yang paling mengejutkan ialah jumlah senjata yang mereka bawa masuk ke dalam Israel," kata pegawai tentera itu.

Di selatan Israel, tentera sudah mengambil alih banyak kawasan komuniti yang diserang pada 7 Oktober lalu, termasuk Holit.

Rumah yang hangus dan lubang peluru kelihatan di sebuah penempatan komunal Israel tidak jauh dari sempadan Mesir.

Di penempatan itu, sekurang-kurangnya 10 terbunuh oleh serangan pejuang Palestin, menurut seorang sukarelawan Zaka, sebuah badan amal yang mengumpul mayat mengikut amalan Yahudi.

Kejutan dilakukan Hamas dalam serangan 7 Oktober, serangan dikatakan paling teruk dalam sejarah Israel yang menyaksikan pejuang Hamas lengkap bersenjata masuk ke Israel dari Gaza.

Menurut laporan Israel, serangan mengejut itu membunuh lebih 1,400 dan 224 lagi diculik, menurut pengiraan rasmi rejim zionis.

Israel membalas dengan serangan bertubi-tubi yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas bahawa ia mengakibatkan lebih 7,000 terbunuh, kebanyakan orang awam termasuk bayi dan kanak-kanak.

Jumlah kematian di pihak Palestin dijangka meningkat dengan ketara jika tentera Israel yang berkumpul berhampiran sempadan Gaza memasuki darat ke wilayah Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 11:10 AM