ASAP dan api di Khan Yunis, selatan semenanjung Gaza malam tadi. FOTO AFP
ASAP dan api di Khan Yunis, selatan semenanjung Gaza malam tadi. FOTO AFP
AFP

Gaza: Israel menyasarkan kedudukan Hamas di selatan Gaza lewat malam tadi selepas tembakan roket dilancarkan dari kawasan Palestin, kata sumber keselamatan dan tentera.

Pasukan Pertahanan Israel, dalam mesej ringkas kepada media, berkata mereka 'sedang melakukan serangan' di Gaza iaitu wilayah Palestin yang dikawal oleh gerakan Islam Hamas.

Pesawat perang Israel menyasarkan tapak Briged al-Qassam, barat Khan Yunis di selatan Gaza, kata sumber Palestin kepada AFP, merujuk kepada sayap tentera Hamas.

Sumber itu turut melaporkan tembakan meriam ke atas pangkalan pemerhatian Hamas di utara Gaza.

Ia berlaku selepas dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza pagi Sabtu dan jatuh di Laut Mediterranean, di luar pantai Tel Aviv.

Pihak tentera dalam satu kenyataan berkata, tiada siren dibunyikan dan sistem pemintasan roket 'Iron Dome' atau Kubah Besi Israel tidak digunakan.

Israel mengekalkan sekatan ke atas kawasan yang miskin itu sejak 2007 iaitu pada tahun Hamas mengambil alih kuasa.

Tahun lalu, Hamas melancarkan serangan roket bertubi-tubi ke arah Israel ketika konflik 11 hari tercetus oleh ketegangan di Baitulmaqdis.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada akhir Mei dan sejak itu hanya lima roket atau peluru mortar dilepaskan dari Gaza ke arah wilayah Israel, kata tentera dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada akhir Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 10:13 AM